Saman fitnah Ismail Sabri mungkin selesai secara baik

Saman fitnah Ismail Sabri mungkin selesai secara baik

ISMAIL SABRI YAAKOB dan LOKMAN NOOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saman yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung penyiaran video berunsur fitnah, berkemungkinan diselesaikan secara baik.

Peguam S. Suresh yang mewakili Lokman memberitahu wakil media, Mahkamah Tinggi di sini hari ini sepatutnya mendengar permohonan injunksi inter-parte (dua belah pihak).

Ujar beliau, bagaimanapun Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menangguhkan prosiding sehingga 5 Januari depan sementara menunggu kemungkinan penyelesaian kes saman berkenaan.

Saman itu berhubung video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) – Lokman Adam’, yang didakwa Ismail Sabri memfitnahnya.

Sementara itu, peguam Ismail Sabri, Joshua Tan turut memaklumkan, setakat ini belum ada apa-apa perkembangan secara bertulis berhubung penyelesaian kes saman fitnah itu.

Ismail Sabri, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 8 September lalu atas kapasiti peribadinya dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos lalu telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam’.

Naib Presiden UMNO itu berkata, kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan dirinya dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan.

Keempat-empat akaun itu ialah YouTube ‘Lokman Adam’, Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas Perdana Menteri serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak pernah berjumpa Dr. Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal dalam jawatan itu.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk mendapatkan perintah injunksi ad-interim (sementara) terhadap Lokman yang didakwa memfitnahnya menerusi dua hantaran jelik, Ogos lalu.

Ismail Sabri memfailkan saman terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tersebut kerana memuat naik dua video pada tarikh 20 dan 22 Ogos lalu menerusi platform Facebook.

Satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lalu, juga dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun, hingga kini Lokman gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN