Salah guna wang: KJ cabar Ramanan

KJ cabar Ramanan jangan berkias jika beliau terlibat penyalahgunaan wang

KHAIRY Jamaluddin bergambar bersama pengundi selepas selesai memberi Ceramah Kata Janji KJ di Kampung Paya Jaras Dalam, Sungai Buloh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin (KJ) mempersoalkan mengapa beliau tidak pernah dituduh di mahkamah sewaktu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Menurut Khairy, sekiranya benar dia terlibat dalam penyalahgunaan wang seperti yang didakwa lawannya dari PH, Datuk R. Ramanan mengapa sehingga kini Penyandang Parlimen Rembau itu masih lagi bersih daripada sebarang kes mahkamah.

Jelasnya, selepas berjaya menutup isu satu undi KJ bermakna satu undi buat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, Ramanan mula cuba menyerang beliau dengan isu penyalahgunaan wang.

“Pertama dia bangkitkan cerita lama kononnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hilang duit, saya sudah beritahu perkara itu bermula sebelum zaman saya menjadi menteri dan pegawai terlibat telah dituduh dan diheret ke mahkamah.

“Jadi saya hendak beritahu kalau KJ ada kes rasuah KBS kenapa 22 bulan PH jadi kerajaan tidak siasat dan buat apa-apa sebab masa itu Perdana Menteri adalah Tun Mahathir Mohamad di mana saya adalah budak paling dibenci beliau,” katanya pada Ceramah Kata Janji KJ di Kampung Paya Jaras Dalam, di sini, malam tadi.

Tambahnya, beliau telah menjalankan tugas dengan amanah dan baik sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan dan sebagai bukti tiada satu tindakan berjaya diambil oleh PH ke atas dirinya.

“Dia ungkit isu-isu lama di mana saya ada skandal itu, skandal ini, jadi saya hendak jawab supaya dia jangan cakap selindung, kalau hendak buat tuduhan buat secara jelas dan saya akan bawa ke mahkamah untuk saman.

“Tetapi satu kertas siasatan tidak berani hendak buka sebab tiada bukti terhadap saya, saya telah jalankan tugas dengan amanah dan baik sebab itu dituduh pun tidak, disiasat pun tidak, sebab tidak ada kes.

“Saya pasti ada yang cakap siasat dan mereka cuba siasat tetapi bila pegawai secara profesional tidak ada kes maka tidak dapat dibuat apa-apa terhadap saya,” katanya.

Khairy turut menegur Ramanan agar tidak mengitar semula cerita yang sepatutnya sebelum ini PH boleh ambil tindakan terhadapnya sepanjang memerintah sebagai bahan berkempen.

“Saya minta tolong kita lawan secara sihat, kita cakap apa yang kita hendak buat untuk Sungai Buloh nanti,” katanya.

Semalam, Ramanan dalam Ceramah Mega Paya Jaras meminta Khairy memberi penjelasan mengenai beberapa skandal melibatkan diri Menteri Kesihatan tersebut seperti ECM Libra, KBS dan Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) sebelum ini.

“Saya cabar dia mari, saya bina pentas bagi dia duduk depan-depan jawab apa yang saya tanya, skandal dia ECM Libra RM14 juta, KBS RM107 juta, UKSB RM70 juta sampai hari ini tiada penjelasan.

“Benda-benda ini ada tapi dia sembunyi dalam internet saya tidak tahu kenapa sampai hari ini, kita sudah lupa dan saya tak nak ungkit bila dicabar kena cabarlah balik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya