Saadiah bakal mengundi kali ke-16

Saadiah bakal mengundi kali ke-16

Saadiah Abdul Razak menunjukkan Mykad yang mencatatkan tarikh kelahirannya pada tahun 1913 di rumahnya di Kampung Parit Bugis, Kayu Ara Pasong, Pontian, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Wanita tertua di Kampung Parit Bugis, Saadiah Abd. Razak, 109, yang dipanggil Embah Sadiah bertekad untuk mengundi bagi kali ke-16 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Dia yang dilahirkan pada 1913, mengundi kali pertama pada tahun 1955 pada usia 42 tahun sehingga pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019.

Menurut anaknya, Saidon Ahmad, 61, ibunya tidak pergi mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu kerana tidak sihat dan demam pada ketika itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Insya-Allah, jika keadaan kesihatan baik, saya akan membawa emak mengundi seawal pukul 8 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Air Hitam,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Bugis, di sini semalam.

Saidon bersyukur kerana ibunya masih diberikan kesihatan yang baik, boleh makan dan minum, dapat menunaikan solat dan sebagai teman berbual memandangkan mereka tinggal berdua.

“Ingatan emak pun masih baik dan dapat mengingati sesuatu apabila diajukan persoalan, mungin kerana kelebihannya berpuasa sunat Isnin dan Khamis diikuti dengan puasa sunat yang lain.

“Selain amalan tersebut, dia juga mengamalkan memakan jamu sejak zaman remaja memandangkan emaknya terlibat dalam pembuatan dan penjualan jamu bagi ibu-ibu yang bersalin,” katanya.

Emaknya mempunyai lapan adik-beradik, namun empat daripada mereka telah meninggal dunia, manakala yang masih hidup telah lanjut usia, dalam lingku­ngan 80-an dan 90-an.

Bapanya, Ahmad Wongso te­lah meninggal dunia pada tahun 2001 dan dia kini menjaga ibunya memandangkannya lebih selesa tinggal di rumah sendiri berbanding anak-anak yang lain.

“Emak lebih selesa tinggal bersama saya di rumah peninggalan arwah ayah. Soal makan emak tidak cerewet dan le­bih gemar makanan yang ringkas dan mudah dimasak seperti sa­yur-sayuran dan ulam­-ulaman,” katanya sambil memberitahu emaknya hanya mempunyai masalah pendengaran, manakala penglihatan dan pertuturan masih jelas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN