KUALA LUMPUR: Perkarangan rumah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menjadi tumpuan susulan kemelut pembentukan kerajaan selepas lima hari PRU-15
Beberapa pengamal media menunggu di Jalan Setia Bakti 2, Bukit Damansara di sini bagi mengikuti perkembangan semasa.
Bagaimanapun, tiada sebarang pergerakan keluar masuk dilaporkan setakat pukul 8.30 pagi tadi.
Terdahulu, kerajaan baharu masih gagal dibentuk walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selesai Sabtu lalu ekoran tiada parti yang mendapat undi majoriti mudah 112 bagi membentuk kerajaan.
Sementara itu, satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja diadakan hari ini bagi membincangkan pelantikan Perdana Menteri Ke-10.
Perbincangan khas itu bertujuan untuk Seri Paduka mendapat pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat. –UTUSAN