BAITULMUQADDIS: Agihan bantuan di Gaza terpaksa dihentikan pada Jumaat selepas Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel memaklumkan keadaan terlalu sesak menjadikan operasi tidak selamat untuk diteruskan, sekali lagi menjejaskan usaha bantuan.
Ketika Gaza terus berdepan kekurangan makanan yang kritikal, pertempuran berlanjutan di pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 40 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel, kebanyakannya di utara Gaza.
Sementara itu, tentera Israel memaklumkan empat anggotanya terbunuh dan lima lagi cedera akibat letupan dalam sebuah bangunan yang dipasang jerangkap samar di Khan Younis, selatan Gaza.
Dalam satu siri kenyataan yang mengelirukan, GHF pada mulanya mengumumkan lokasi edaran bantuan di selatan Gaza ditutup.
Kemudian, pertubuhan itu menyatakan bantuan sudah diagihkan sebelum akhirnya memaklumkan pintu lokasi terpaksa ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
“Edaran bantuan berlangsung dengan aman dan tanpa insiden namun ia dihentikan buat sementara waktu kerana keadaan terlalu sesak yang membahayakan keselamatan,” menurut kenyataan GHF.
Tanpa mengira sambutan Aidiladha yang disambut umat Islam, tentera Ziois meneruskan operasi ketenteraan dengan alasan membanteras pejuang Hamas.
Tentera Israel mengalami kehilangan besar apabila empat anggotanya maut dalam bangunan yang dipasang bahan letupan, menjadikan jumlah kematian anggota tentera sejak awal Jun meningkat kepada lapan orang.
Tentera Israel juga mengeluarkan arahan pemindahan terbaru untuk kawasan di dalam dan sekitar bandar Gaza serta memberi amaran mengenai serangan yang bakal dilancarkan.
Dengan banyak kawasan kediaman di Gaza telah musnah akibat peperangan berbulan-bulan, penduduk tempatan menunaikan solat Aidiladha di kawasan terbuka, berhampiran masjid dan rumah yang telah dibom.
“Seperti yang anda lihat, kami menunaikan solat Aidiladha dalam keadaan pengeboman, serangan dan pesawat masih berlaku,” kata seorang wanita, Umm Mahmoud di Khan Younis.










