WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat menandatangani tiga perintah eksekutif baharu bagi memperkukuhkan pertahanan negara terhadap ancaman dron serta menggalakkan pembangunan teksi udara elektrik dan pesawat komersial supersonik.
Menurut kenyataan Rumah Putih, perintah eksekutif itu bertujuan membenarkan penggunaan rutin dron di luar jarak penglihatan pengendali, satu langkah penting dalam merealisasikan penghantaran dron secara komersial.
Trump turut mengarahkan pengurangan kebergantungan AS terhadap syarikat dron dari China serta memulakan ujian pesawat berlepas dan mendarat secara menegak berkuasa elektrik (eVTOL).
Satu pasukan khas persekutuan akan ditubuhkan untuk memastikan kawalan sepenuhnya terhadap udara AS, memperluaskan sekatan di kawasan sensitif, meningkatkan penggunaan teknologi pengesanan dron secara masa nyata dan memberi bantuan kepada penguatkuasa undang-undang di peringkat negeri dan tempatan.
“Kami menangani ancaman yang semakin meningkat daripada kegunaan dron oleh pengganas dan pihak asing dalam ruang udara AS.
“Kita perlu melindungi sempadan negara termasuk melalui udara, lebih-lebih lagi menjelang acara berskala besar seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia,” kata Pengarah Pejabat Dasar Sains dan Teknologi Rumah Putih, Michael Kratsios.
Pengarah kanan Majlis Keselamatan Negara dalam bahagian antipengganas, Sebastian Gorka turut merujuk penggunaan dron dalam perang Russia-Ukraine serta ancaman terhadap acara sukan utama di AS.
Dalam langkah berasingan, Trump mengarahkan FAA menarik balik larangan penerbangan supersonik di daratan yang berkuat kuasa sejak 1973.
“Rakyat AS sepatutnya boleh terbang dari New York ke Los Angeles dalam masa kurang empat jam.
“Kemajuan dalam kejuruteraan aeroangkasa, sains bahan dan pengurangan bunyi kini menjadikan penerbangan supersonik di darat bukan sahaja boleh dilaksanakan, malah selamat, lestari dan menguntungkan secara komersial,” ujar Kratsios.










