fbpx

[RASMI] Maximus tewas di Kota Marudu

MAXIMUS ONGKILI

PETALING JAYA: Selepas tujuh penggal berturut-turut menyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili akhirnya tewas  pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti 8,174 undi. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, Maximus tewas kepada pencabarnya Datuk Wetrom Bahanda daripada parti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Katanya, dalam persaingan enam penjuru itu, Wetrom yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau meraih keseluruhan 24,318 undi.

“SPR ingin memaklumkan keputusan pengundian bagi Parlimen Kota Marudu selamat diterima dan diumumkan pada pukul 6.40 pagi, hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maximus yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya mendapat 16,144 undi manakala calon Parti Warisan (Warisan), Datuk Jilid Kuminding pula meraih 5,320 undi dan  Mohd. Azmie Zulkiflee daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) (279 undi).

Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Shahrizal Denci mendapat 3,225 undi dan Norman Tulang (Bebas) (660 undi).

Dalam perkembangan sama, Abdul Ghani berkata, keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan 76 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (51 kerusi), Barisan Nasional (30 kerusi), Pas (22 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi), GRS (enam kerusi) dan DAP (lima kerusi).

Katanya, Parti Warisan Sabah (Warisan) pula memperolehi tiga kerusi Parlimen, Bebas (dua kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi Muda, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan KDM. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN