fbpx

‘Rasa macam pakai inai’ – Pengundi 18

ANTARA yang menunaikan kewajipan mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri.

KUALA LUMPUR: Rata-rata pengundi muda khususnya yang berumur bawah 21 tahun melahirkan rasa teruja apabila berkesempatan mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, pengundi muda dilihat keluar awal bagi menunaikan kewajipan mereka, malah ada menyifatkan keterujaan mengundi seakan-akan memakai inai pada jari.

Bercerita tentang pengalaman itu, seorang pengundi muda, Melissa Sofia Shahran, 18, berkata, dia berasa teruja untuk mengundi pada hari ini kerana pertama kali merasai pengalaman memilih wakil rakyat sempena PRU.

“Saya keluar awal hari ini sebab teruja mahu mengundi wakil rakyat baharu. Bila mengundi, rasa macam pakai inai sebab kena celup jari, seronok perasaan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Parlimen Titiwangsa di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri di sini.

Dalam pada itu, sekumpulan orang kurang upaya (OKU) dilihat turut hadir menunaikan kewajipan mereka hari ini.

Salah seorang daripada mereka, Mohd Faizal Abu Osman, 39, berkata, meskipun mengundi kali kedua, tetapi beliau masih berasa teruja bagi melihat suasana pilihan raya lima tahun sekali. 

“Saya sangat teruja sebab nak tengok kali ini, keadaannya agak berbeza, ada pengundi muda, tetapi untuk kami, proses berjalan lancar, pegawai dan semua petugas memudahkan urusan kami untuk memangkah,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN