Ramilawati lumpuh, terlantar sejak 2007 

Ramilawati lumpuh, terlantar sejak 2007 

MUSTAFA Abdullah dan Romlah Salleh sentiasa berada di sisi Ramilawati yang terlantar akibat lumpuh di rumah mereka sejak tahun 2007 di Kampung Mengabang Telong, Setiu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang wanita terlantar di atas katil sejak 15 tahun lalu akibat lumpuh selepas menghidap penyakit saraf otak atau ‘multiple sclerosis’ di rumahnya di Kampung Mengabang Telong di sini.

Penderitaan itu dialami Ramilawati Mustafa, 43, yang tidak mampu bergerak sehingga terpaksa dijaga oleh ibu bapanya, Romlah Salleh, 63, dan Mustafa Abdullah, 68.

Menurut Romlah, anak sulung daripada empat beradik itu mula menunjukkan simptom penyakit tersebut ketika di tahun akhir pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 2001.

Katanya,  Ramilawati mengadu sakit kaki namun doktor gagal mengesan sebarang penyakit sebelum tahap kesihatannya semakin merosot.

“Waktu itu, dia (Ramilawati) cuma rasa kebas di kaki kanan sebelum sakit itu melarat ke kaki kiri dan anggota badan lain. Akhirnya dia terpaksa berkerusi roda termasuk ketika majlis konvokesyen.

“Sebaik tamat pengajiannya, doktor mengesahkan dia menghidap penyakit saraf otak dan terus dibawa pulang. Sejak itu kami berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Kesihatan Ramilawati yang juga lulusan teknologi maklumat itu bagaimanapun bertambah teruk sebelum lumpuh sepenuhnya dan hanya terlantar di atas katil sejak 2007,” katanya.

Romlah ditemui ketika menerima ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman di rumah mereka  di Kampung Mengabang Telong di sini, hari ini.

Sementara itu, Mustafa yang bekerja kampung berkata, kos penjagaan Ramilawati mencecah  RM500 sebulan termasuk lampin pakai buang, susu, ubat-ubatan dan barang keperluan lain.

Menurutnya, bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kadang kala tidak mencukupi untuk memberi penjagaan terbaik kepada Ramilawati.

Katanya, dia dan isterinya akan menjual makanan ringan seperti kuih-muih dan aiskrim bagi menampung perbelanjaan tambahan yang diperlukan untuk membeli keperluan penting. 

“Selain JKM, kami menerima bantuan bulanan berupa lampin pakai buang menerusi Tabung Darul Iman dan susu daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Namun bantuan itu hanya mampu bertahan tidak sampai sebulan selain terpaksa menggunakan lampin pakai buang dan susu itu dengan cara berjimat,” jelasnya lagi.

Mereka yang ingin menyumbang boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Romlah (nombor 1110229000261001) atau hubungi talian 011-55188438. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya