PETALING JAYA: Ramai dalam kalangan pengundi di Parlimen Titiwangsa mengenali calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sebagai suami kepada pelakon terkenal, Umie Aida.
Beliau menyifatkan ia adalah melucukan namun, menjadi petanda baik untuk merampas kerusi Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
“Ramai masih ingat perjuangan saya dalam kes skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan sesiapa sahaja berjumpa saya mengucapkan terima kasih.
“Ada juga yang bertanya mengenai pengalaman hidup di penjara ketika ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Apa yang melucukan saya apabila ramai daripada pengundi mengenali saya suami kepada pelakon Umie Aida. Bagi saya, ini petanda baik ke arah mencapai kemenangan serta merampas kerusi Titiwangsa untuk Pejuang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon daripada empat gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Selain Khairuddin, tiga yang lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN); Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad (PH) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Rosni Adam (PN).
Pada PRU14, kerusi Parlimen Titiwangsa disandang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dengan majoriti 4,139 undi selepas memperoleh sebanyak 23,840 undian pada PRU14.
Rina menewaskan Johari yang memperoleh sebanyak 19,701 undian manakala calon Pas, Mohamad Noor Mohamad memperoleh 6,845 undi.
Pada PRU kali ini, Rina tidak mempertahan kerusi tersebut kerana bertanding di Parlimen Sepang menggunakan tiket PN.
Dalam pada itu, Khairuddin yang juga Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan berkata, beliau diterima baik oleh rakyat apabila memasuki kubu kuat UMNO.
“Kemungkinan besar Parlimen Titiwangsa kami bertanding sesama sahabat karib tanpa sebarang unsur provokasi atau serangan peribadi yang menyebabkan suasana aman damai,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang memberi perkhidmatan dengan profesional untuk menjaga calon-calon serta ahli politik yang giat berkempen.
“Saya melihat tenaga kerja pihak polis di lapangan dikerah dengan begitu ramai kali ini. Anggota PDRM pula amat mesra dengan semua orang dan pasukan saya amat selesa dengan kehadiran pihak polis di setiap program yang dianjurkan,” katanya. – UTUSAN