Raja-raja Melayu tangani kemelut politik

Raja-raja Melayu tangani kemelut politik

Raja-Raja Melayu yang menghadiri Perbincangan Khas di Istana Negara semalam bagi memutuskan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10. – FB Istana Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peranan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong di dalam pelantikan Perdana Menteri jelas membuktikan institusi raja amat penting untuk mengimbangkan menyelesaikan kemelut politik tanah air pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, justeru, semua pihak perlu akur dengan keputusan Seri Paduka untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Jelasnya, krisis pelantikan Perdana Menteri perlu diselesaikan segera demi kestabilan negara bagi mengelakkan kemelut berpanjangan sejurus PRU15 berlangsung.

“Ini membuktikan peranan Agong dan Majlis Raja-Raja amat penting dalam mengimbangkan krisis politik berpanjangan dengan diakhiri dengan pelantikan Perdana Menteri.

“Ini uniknya Malaysia kerana mempunyai institusi beraja berperlembagaan sebagai payung utama rakyat di saat pemimpin politik berdepan kesukaran terhadap pembentukan kerajaan Pusat,” katanya.

Anwar sah diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10 menerusi satu kenyataan Istana Negara semalam.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, keputusan itu dibuat setelah mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka telah memberi perkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas pelantikan Anwar, Mujibu berkata, tugas getir menanti Ahli Parlimen Tambun itu termasuk mewujudkan pasukan Kabinet yang efektif untuk menguruskan negara dan ketidaktentuan serta cabaran ekonomi pada 2023.

“Melantik pasukan Kabinet diyakini merupakan tugas utama beliau agar barisan Menteri dapat memberi keyakinan sama ada kepada rakyat dan pelabur,” jelasnya.

Beliau menambah, Anwar juga berhadapan tugas besar untuk menyatupadukan rakyat pasca PRU15 di samping meredakan ketegangan politik setelah keputusan Parlimen tergantung.

“Namun kita tidak pasti adakah sama ada kerajaan dibentuk ini sama ada perpaduan atau campuran. Namun kita paling penting, beliau hendaklah mendapat sokongan padu daripada semua wakil rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×