Pusat Fidlot Negara: Kerajaan tak tanggung kerugian, Mohamad Salleh yang rugi - Utusan Malaysia

Pusat Fidlot Negara: Kerajaan tak tanggung kerugian, Mohamad Salleh yang rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail mendakwa kerajaan tidak menanggung sebarang kerugian walaupun projek ternakan lembu berskala besar yang sepatutnya dijalankan National Fidlot Corporation (NFCorp), 15 tahun lalu gagal.

Sebaliknya, Mohamad Salleh mendakwa beliau dan NFCorp yang terpaksa menanggung kerugian puluhan juta ringgit selepas kerajaan membekukan wang syarikat itu.

“Saya yang menanggung kerugian. Awak (kerajaan) bekukan duit, awak gantung projek tersebut, awak tidak bina rumah sembelih kualiti eksport (EQA). Saya dah habiskan banyak masa saya untuk pastikan projek ini berjaya. (Tetapi) selepas awak sita duit, saya tidak boleh teruskan projek itu lagi,” katanya.

Mohamad Salleh berkata demikian ketika disoal balas Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali dalam kes saman Kerajaan Malaysia menuntut NFC membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Asliza mempersoal mengenai tuntutan balas akibat kerugian melebihi RM86 juta yang didakwa ditanggung oleh Mohamad Salleh.

Syarikat NFC diuruskan oleh Mohamad Salleh iaitu suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan tiga anak mereka.

Terdahulu, Mohamad Salleh menyatakan, beliau terpaksa menandatangi perjanjian pajakan tanah di Gemas walaupun tanah tersebut tidak sesuai digunakan untuk penanaman rumput bagi makanan lembu-lembu yang perlu dibekalkan oleh NFC.

“Saya telah beritahu bahawa tanah tersebut tak sesuai tetapi mereka (kerajaan) masih tetap meneruskannya. Pada ketika itu saya hanya pentadbir, pihak yang mempunyai kuasa ialah Kementerian Pertanian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani),” katanya.

Selain itu, Mohamad Salleh mendakwa NFCorp tidak dapat memenuhi kuota pengeluaran yang ditetapkan ekoran EQA yang dibina kerajaan tidak dapat menampung proses penyembelihan dalam jumlah yang besar.

“Berdasarkan kepada sasaran pengeluaran, kami perlu menyembelih 700 ekor lembu sehari, bagaimanapun EQA mini yang kami bina hanya boleh mencapai maksimum 30 ekor sehari sahaja. Untuk membayar pinjaman ini, kita perlu menyembelih 240,000 ekor setahun.

“Banyak mana pun lembu yang dibawa masuk, kami tidak boleh memenuhi jumlah lembu yang disembelih kerana rumah sembelih tidak cukup,” katanya.

Tambahnya, NFCorp telah melepasi sasaran dengan membawa masuk lebih daripada 8000 ekor lembu daripada Darwin, Australia namun hanya 5743 ekor lembu sahaja yang boleh disembelih daripada tahun 2008 sehingga akhir 2010 berikutan kerajaan tidak menyediakan EQA yang besar.

Dalam tuntutannya, Kerajaan Malaysia selaku plaintif menamakan NFC sebagai defendan pertama, Mohamad Salleh, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd., Real Food Corporation Sdn. Bhd., Meatworks Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., Asian Bioscience Corporation Sdn. Bhd. dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn. Bhd.

Menurut pernyataan tuntutan, kerajaan menandatangani perjanjian dengan NFC pada 6 Disember 2007 dengan memberi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional.

Perjanjian itu selaras dengan dasar kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional.

Baki daripada dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Sebahagian besar daripada RM118.05 telah digunakan untuk dua unit kediaman di One Menerung Residence, dua bidang tanah di Putrajaya, bayaran kepada dua firma guaman dan membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara.

Wang itu juga didakwa digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bernama Shamsubarin Ismail bagi tujuan yang tidak didedahkan dan sebanyak RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama selain untuk pembayaran sewa bulanan bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Anand Pnnodurai bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya