Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dangdut diberkas polis - Utusan Malaysia

Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dangdut diberkas polis

TANGKAP layar kejadian seorang lelaki memukul isterinya dalam kejadian di sebuah kondominium di Cheras. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dipercayai memukul isterinya di kondominium di Batu 9, Cheras, Kajang dekat sini diberkas polis selepas video tersebut tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu wanita berusia 45 tahun pada 9.38 malam, Selasa lalu.

Katanya, mangsa memaklumkan dipukul oleh suaminya menggunakan tangan dan kaki menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tubuh badan.

“Dalam kejadian tersebut pengadu juga turut ditarik rambut dan ditendang di kepala oleh suspek menyebabkan pengadu telah melarikan diri keluar dari rumah.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di dalam rumah pengadu dan terdapat saksi pembantu rumah, pemandu peribadi suspek dan anak perempuan pengadu berusia tujuh tahun yang melihat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa telah mendapatkan rawatan awal di hospital dan disahkan mengalami kecederaan akibat dipukul di bahagian kedua belah mata, atas kepala, kaki dan belakang badan.

Jelasnya, susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah menahan suami pengadu berusia 58 tahun di kawasan Setapak, semalam.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes pemerasan,” katanya.

Tambah beliau, suspek dibenarkan reman empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Rahmat Bin Adnan di talian 014-515 6933 dan balai polis yang berdekatan untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Semalam, Utusan Online melaporkan bekas suami penyanyi dangdut popular itu bertindak kejam apabila membelasah seorang wanita dipercayai isteri baharunya.

Kejadian itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di media sosial sehingga tular kelmarin.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa diheret dan ditendang berkali-kali di muka serta badan.

Rakaman juga menunjukkan kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN