PRU15: Tiket bas ‘sold out’, perantau hampa tidak dapat pulang mengundi - Utusan Malaysia

PRU15: Tiket bas ‘sold out’, perantau hampa tidak dapat pulang mengundi

SEORANG penjual tiket bas di George Town, Pulau Pinang menunjukkan tiket-tiket yang sudah ditempah pada tarikh-tarikh menjelang hari pengundian PRU15 Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Rata-rata anak perantau yang bekerja di negeri ini mula berdepan dilema untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila tiket bas bagi ke semua destinasi terutama ke Pantai Timur dan arah Selatan habis dijual.

Tinjauan Utusan Malaysia di Seberang Perai di sini mendapati, tiket bas ke serata destinasi di Semenanjung dikatakan sudah habis ditempah dan dibeli perantau sejak dua minggu lalu.

Pekerja kaunter tiket di Butterworth yang mahu dikenali sebagai Murad berkata, tiket pada tarikh 16 sehingga 18 November ini habis dijual dan hanya tersedia selepas PRU15.

“Tarikh-tarikh tersebut memang dah (sudah) lama habis. Kemungkinan pengundi nak (hendak) rancang cuti awal untuk balik mengundi. Setiap hari, memang ada orang datang bertanya tiket pada tarikh berkenaan. Tetapi maaf, memang tiket sudah habis.

“Kalau perkhidmatan bas lain tidak mustahil (tiket) ‘sold out’ juga. Buat masa ini, jangan bermimpi nak balik kampung naik bas menjelang hari mengundi.

“Memang pengundi kena cari alternatif lain sama ada nak balik dengan kapal terbang atau kenderaan sendiri. Itu saja jalan penyelesaiannya” katanya di sini hari ini.

Dalam pada, tinjauan di sebuah kaunter tiket bas di pusat bandar George Town pula mendapati tiket masih tersedia meskipun lebih 50 peratus sudah dibeli terutama bagi perjalanan ke Kuala Lumpur.

Seorang penjual tiket, Hervan, 18, memberitahu, dia percaya permintaan terhadap tiket bas akan habis dalam sehari dua lagi memandangkan tarikh mengundi sudah semakin hampir.

“Kebiasaannya, ramai pelanggan akan datang membeli tiket di akhir waktu atau kemungkinan mereka (pengundi) yang tinggal di sini tidak pulang mengundi. Berbanding jualan tiket bas dari Kuala Lumpur ke sini, semuanya telah habis dijual.

“Ini kerana, tiket dari pusat bandar ini bertarikh 16 hingga 18 Oktober masih banyak dan tempat duduk belum penuh sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nur Aisyah Junaidi, 30, yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, dia masih berkira-kira untuk pulang mengundi berikutan semua tiket bas telah habis ditempah.

“Saya terus menempah tiket bas secara online untuk pulang mengundi sebaik sahaja Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan cuti khas negeri pada 18 November ini. Namun hampa apabila dimaklumkan tiket sudah habis termasuk bas lewat malam.

“Kalau nak balik guna kapal terbang pula (tiket) mahal. Memang tak mampu lah kerana belum bergaji,” katanya sambil menambah berkemungkinan akan menumpang kenderaan rakan-rakan yang akan pulang ke Kuala Lumpur untuk mengundi nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.