RAUB: Sokongan rakyat terhadap calon Barisan Nasional (BN) semakin meningkat hasil semangat luar biasa yang ditunjukkan komponen parti itu, UMNO, MCA dan MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendekatan BN yang mesra tanpa membawa elemen fitnah, kebencian dan mengadu domba diterima rakyat sebagai mana sambutan pengundi di lapangan.
Menurut Menteri Pertahanan itu, formula unik BN yang berkongsi kuasa yang mengutamakan rakyat perlu menjadi agenda berterusan supaya kebajikan dan kepentingan mereka sentiasa dijaga.
“Gerakan parti politik lain yang masih berkempen membawa elemen kebencian, menabur fitnah tidak lagi diterima pengundi yang semakin matang dalam landskap politik masa kini.
“Jika parti masih menggunakan templat negatif politik kebencian, menabur fitnah akan ditolak pengundi yang inginkan gabungan politik yang menjadikan kemakmuran dan kestabilan kepada rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis mesra rakyat bersama Menteri Pertahanan dan calon BN Parlimen Raub di Dewan Serbaguna Felda Lembah Klau, di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, rakyat sudah penat dengan politik pecah belah sejak PRU14 sekali gus berharap kerajaan yang stabil dan berintegriti dapat dibentuk selepas PRU15 ini.
Beliau yang juga calon BN Parlimen Sembrong di Johor memuji Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berjaya menyediakan landskap politik stabil di negeri ini.
“Rakyat sudah pasti dapat menilai rekod pimpinan Wan Rosdy yang mesra dan mengutamakan rakyat dengan menyediakan pelbagai bantuan untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN