PRU15: Pengundi muda perlu waspada pilih kerajaan

PRU15: Pengundi muda perlu waspada pilih kerajaan

MAHDZIR Khalid berswafoto bersama tetamu ketika hadir ke Program Sembang Santai Pemimpin Institusi di Felcra Kubang Kenyeng di Padang Terap, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Pengundi terutamanya golongan muda yang pertama kali akan menunaikan tanggungjawab diminta mengingati semula janji ditabur gabungan politik termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum menterjemahkan pilihan masing-masing di kertas undi. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu bagi memastikan mereka tidak terperdaya dengan tawaran-tawaran kosong yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan oleh parti-parti politik tertentu. 

Sebagai contoh katanya, Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 telah membawa satu manifesto yang telah menjanjikan tawaran ekstrem seperti menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun gagal melaksanakannya. 

“Bukan itu saja malah mereka turut berjanji hendak hapuskan tol serta turunkan harga minyak ke tahap minimum. Itu pun tak boleh dilaksanakan juga. 

“Maknanya mereka ini memberikan manifesto yang tiada harapan sebenarnya. Justeru kepada anak-anak muda, lebih baik mereka pertimbangkan tawaran lebih praktikal yang boleh dilaksanakan bersandarkan kepada kedudukan kewangan, kemampuan dan kebolehan kerajaan selepas ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Sembang Santai Pemimpin Institusi di Felcra Kubang Kenyeng, di sini hari ini.

Dalam manifesto yang dinamakan sebagai Tawaran Harapan, PH menyatakan komitmen untuk mengkaji semula perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik, dengan pencapaian pengurangan 18 peratus kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2). 

Sebelum itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut berjanji tol PLUS akan dimansuhkan sekiranya PH menang dalam PRU15, dengan perkara itu turut mengundang reaksi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hairan dengan tindakan PH mengulangi janji yang disifatkan sebagai tidak boleh dilaksanakan.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, dalam PRU kali ini BN dilihat menawarkan manifesto atau tawaran lebih praktikal berbanding gabungan-gabungan politik lain.

“Kebanyakan tawaran berasaskan kepada Bajet 2023 yang telah dibentangkan di Parlimen sebelum ini. Boleh dikatakan, semua golongan terlibat dalam tawaran tersebut termasuk wanita, anak muda, dewasa, veteran, kanak-kanak dan pesara kerajaan. 

“Sama ada mereka tinggal di bandar atau luar bandar, semuanya terlibat dalam tawaran dikemukakan BN. Anak-anak muda juga tidak dilupakan dalam pakej tawaran tersebut termasuk pendidikan berkaitan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta jaminan peluang pekerjaan pada masa depan berasaskan industri Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta teknologi hijau yang dikemukakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya