PRU15: Muhammad Fawwaz buktikan kubu kuat PKR di Permatang Pauh boleh dirobohkan - Utusan Malaysia

PRU15: Muhammad Fawwaz buktikan kubu kuat PKR di Permatang Pauh boleh dirobohkan

MUHAMMAD FAWWAZ Mat Jan dicium ibunya,, Kamariah Abdul Latif selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh di IKTBN di Bukit Mertajam malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI: Calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Fawwaz Mat Jan, 39, membuktikan kerusi Parlimen Permatang Pauh boleh ditumbangkan meskipun menjadi kerusi tradisi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kira-kira 40 tahun lalu.

Lebih manis, Muhammad Fawwaz bukan hanya merampas kerusi itu dengan majoriti selesa iaitu 5,272 undi, malah turut menumbangkan legasi Anwar iaitu anaknya sendiri, Nurul Izzah Anwar yang juga penyandang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang meraih 37,638 undi menewaskan penyandang, Nurul Izzah Anwar yang memperoleh 32,366 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh, Muzkhairil Muhamad di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 1.35 pagi tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Fawwaz berkata, beliau tidak menjangka akan beroleh kemenangan ekoran persaingan sengit antara PN bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Apa yang berlaku telahpun berlaku dan kita dapat lihat gelombang besar di Permatang Pauh dan juga seluruh negara terutamanya sokongan anak muda, sokongan pengundi atas pagar kepada PN, ini perkara positif kerana kita berjaya pecahkan kubu kuat PKR.

“Kalau kita lihat Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar yang mana dari Pilihan Raya Umum Keenam sampailah ke PRU14, memang Parlimen ini menjadi kawasan taklukan mereka.

“Memang tidak jangka sebenarnya PN dapat beroleh kemenangan dan mampu memecahbkan undi kubu kuat PH di Malaysia,” katanya yang turut ditemani ibunya, Kamariah Abdul Latif.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati penyokong supaya tidak melakukan aktiviti konvoi mahupun perarakan, sebaliknya pulang ke rumah bagi memastikan Permatang Pauh kekal tenang.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan saya ingin memohon maaf jika ada salah dan silap sepanjang saya tempoh berkempen di Permatang Pauh.

“Insya-Allah saya akan cuba tunaikan (janji) dan isu pertama yang akan dilaksanakan membabitkan isu kebajikan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said mendapat 16,971 undi dan Mohd. Nasir Othman (GTA) memperolehi 473 undi.

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Beliau memperolehi 35,534 undi mengalahkan Mohd. Zaidi yang memperolehi 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Anwar atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya