PRU15: Empat pemimpin Bersatu digugurkan daripada senarai - Utusan Malaysia

PRU15: Empat pemimpin Bersatu digugurkan daripada senarai

BUNG Moktar Radin (empat kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada calon Lahad Datu, Maizatul Akmam Alawi (lima kiri) di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa antara yang digugurkan daripada senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) yang diumumkan hari ini.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor itu, kerusi Parlimen Sipitang yang kini disandang Yamani Hafez akan ditandingi Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Matbali Musah.

Yamani merupakan salah seorang daripada empat pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digugurkan daripada senarai calon yang mewakili GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Turut digugurkan daripada senarai adalah tiga pemimpin Bersatu iaitu Datuk Rahim Bakri yang menyandang kerusi Parlimen Kudat; Datuk Seri Azizah Mohd Dun yang menyandang kerusi Parlimen Beaufort dan Datuk Zakaria Mohd Edris, penyandang kerusi Parlimen Libaran.

Keempat-empat pemimpin Bersatu yang digugurkan itu merupakan bekas pemimpin Barisan Nasional yang melompat menyertai Bersatu selepas PRU14.

Bagi kerusi Parlimen Beluran yang disandang oleh Datuk Seri Ronald Kiandee, calon bagi kerusi itu belum diputuskan kerana masih dalam perbincangan antara GRS-BN.

Sementara itu, seorang menteri dan tiga timbalan menteri Persekutuan kekal bertanding di kerusi Parlimen yang disandang iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (Kota Marudu); Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis); Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin (Ranau); dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan).

Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk dua Timbalan Ketua Menteri turut bertanding iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyandang kerusi Parlimen Kinabatangan dan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Keningau.

Empat ADUN lain yang bertanding adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan bertanding kerusi Parlimen Sepanggar; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya bertanding di kerusi Parlimen Putatan; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai (Tuaran), Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ruddy Awah (Kudat) dan seorang ADUN Dilantik iaitu Suhaimi Nasir (Libaran).

Secara keseluruhan Barisan Nasional bertanding 11 kerusi termasuk satu kerusi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bagi GRS pula, enam kerusi ditandingi Bersatu manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding empat kerusi, dua kerusi ditandingi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan satu kerusi ditandingi Parti Maju Sabah (SAPP).

Sementara itu, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Aziz Ibno mewakili Barisan Nasional.

Daripada 24 calon yang diumumkan, seramai 11 calon muka baharu bertanding buat kali pertama kali dalam pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya