PETALING JAYA: Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mengajak golongan penghantar makanan bersatu untuk membantu Pakatan Harapan (PH) menewaskan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Beliau yang juga calon PH di Parlimen Iskandar Puteri berkata, ini kerana penunggang p-hailing patut menunding jari kepada Presiden MCA itu kerana gagal melindungi hak golongan itu.
Menurut beliau, sememangnya perlu diakui ada sebilangan kecil penunggang yang menghantar makanan, minuman dan bungkusan tidak begitu peduli dengan peraturan lampu isyarat, namun ia disebabkan mereka terpaksa mengejar masa penghantaran.
Katanya, ini kerana ia perlu dilakukan demi mengelakkan penunggang dimasukkan dalam kategori ‘lambat’ oleh majikan masing-masing berikutan mereka akan ‘dihukum’ jika lewat.
“(Namun) Kerajaan Malaysia pula lebih suka mengenakan pelbagai peraturan untuk penunggang tetapi enggan mewajibkan majikan menjaga kebajikan pekerja masing-masing. Sepatutnya, kerajaan menjadi orang tengah atau pengadil, dan bukannya berpihak kepada majikan.
“Kerana itulah penunggang p-hailing menuding jari kepada Wee Ka Siong yang menjadi wajah Barisan Nasional yang gagal melindungi hak pekerja.
“Inilah masanya untuk semua pekerja penghantar makanan dan barangan bertekad membulatkan hati untuk membantu Pakatan Harapan menewaskan Wee Ka Siong di kawasannya di Parlimen Ayer Hitam,” katanya.
Pada PRU15, Ka Siong dicabar calon PH, Sheikh Umar Bagharib Ali yang juga Naib Pengerusi DAP Johor serta calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Syafiq A. Aziz yang merupakan bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian. – UTUSAN