fbpx

PRU15: BN sambut baik jika PH beri laluan di DUN Tioman

WAN ROSDY Wan Ismail (kiri) menunjukkan isyarat bagus dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan di Pekan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF

PEKAN: Barisan Nasional (BN) Pahang mengalu-alukan sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu memberikan laluan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, 7 Disember ini.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun mereka belum mendapat keputusan muktamad berkaitan perkara itu.

Kata Menteri Besar, memandangkan BN dan PH kini berada dalam satu blok pembentukan kerajaan negeri, mereka akan membincangkan tentang pemberian laluan PH kepada BN bagi kerusi DUN Tioman.

“Sebab kita sudah dalam satu blok, kita akan bincang. Kalau mereka boleh bagi laluan, lebih bagus,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, gabungan BN dan PH dalam membentuk kerajaan negeri dijangka akan memberi kesan positif kepada BN.

“Ini kerana dalam kerajaan negeri yang ada sekarang sudah ada PH. Sebelum ini PH bertanding, BN bertanding.Kalaulah kita ada kesepakatan dalam perbincangan, lgi mudah untuk BN,” katanya.

Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Johari Hussain; calon Bebas, Sulaiman Bakar; calon parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A. Bakar; calon PH, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly; dan calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim.

Mohd Fadzli sebelum ini menyatakan kesediaan memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan Majlis Presiden PH bagaimanapun tiada arahan rasmi dikeluarkan setakat ini.

Mohd. Johari pula sebelum ini menyambut baik kesediaan Mohd. Fadzli untuk memberikan laluan kepadanya, jika diarahkan pucuk pimpinan tertinggi parti. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN