LARUT: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat beberapa parti politik menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan itu.
Beliau yang enggan mendedahkan parti mana memberitahu, permohonan itu diterima sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ada banyak, lebih daripada lima. Di Sabah pun ada, di Semenanjung pun ada (mohon sertai PN). Insya-Allah, ada banyak lagi parti sudah tulis surat mahu bersama kita, saya tahulah sebab saya Setiausaha Agung.
“Tapi disebabkan sudah sampai pilihan raya, saya nasihatkan Presiden dan pemimpin-pemimpin PN untuk tunggu.
“Kalau kita umum cepat sangat, mereka kata kita ambil semua. Ambil semua itu maknanya macam ‘sakau’, jadi kita tak mahu ambil semua,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, jentera PN di seluruh negara bekerja keras bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada PRU15.
Malah katanya, dalam kalangan anak muda juga dilihat memberi sokongan penuh dengan turut membantu gerak kerja parti di seluruh negara.
“Saya difahamkan, banyak juga Parlimen yang dulunya kita tidak sangka boleh dapat sokongan menggalakkan, hari ini sudah nampak (sokongan).
“Kalau dahulu kita kata hitam, kini sudah nampak kelabu. Bukan bermakna kita sudah boleh menang, tapi ia memberi satu rasa ada peluang untuk kita mencapai kemenangan pada pilihan raya ini,” katanya.
Selain Bersatu dan Pas, PN turut disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Air (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP). – UTUSAN










