PRU15: Aminuddin yakin Tambun kembali kepada BN

PRU15: Aminuddin yakin Tambun kembali kepada BN

AMINUDDIN Md. Hanafiah (kiri) bersama peniaga pada program walkabout di Taman Mas Chepor di Ipoh, hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Meskipun berhadapan saingan nama besar atau ‘heavyweight’, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah yakin dapat mengembalikan Tambun kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan momentum sokongan yang bertambah selain penerimaan positif orang ramai kepada calon BN termasuk di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen berkenaan.

“Saya berpaksikan kepada apa yang berlaku pada tahun 2018 (PRU14), maknanya bila sebut nama besar, tidak semestinya menang. Ketika itu, banyak nama besar tumbang termasuk Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (bekas Ahli Parlimen Tambun). 

“Jasa (beliau) banyak tetapi tumbang kerana tiada siapa dapat menafikan gelombang rakyat. Bagaimanapun, gelombang ini tidak akan pergi ke arah sama, mesti ada gelombang baru yang akan mengolah balik dinamik politik.

“Pemikiran pengundi juga sangat dinamik, jadi faktor ini memberikan saya keyakinan yang saya juga berpeluang untuk memenangi kerusi Parlimen Tambun,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Taman Mas, Chepor, di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, undi kaum Cina dan India merupakan penentu keputusan di kawasan berkenaan di mana Pakatan Harapan (PH) kini dilihat memberi tumpuan kepada aspek berkenaan.

“Kita cuba untuk menyakinkan pengundi, ini (pilihan raya) bukan benda main-main. Ia bukan untuk melonjakkan seseorang menjadi menteri sebaliknya berkaitan masa depan. Masa depan adalah sesuatu perkara yang serius.

“Saya selalu berpesan jangan sama sekali terbuai dengan janji. Ini bukan masa kita terima janji-janji kosong, janji bulan bintang yang tidak akan tercapai. 

“Apabila sudah beri janji macam-macam dan menang, mereka kata pula tidak sangka boleh menang. Mana boleh beri harapan kemudian minta maaf tidak sangka menang. Ini sikap yang sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada PRU14, Parlimen Tambun menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandangnya, Ahmad Husni dari BN menentang calon PH, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ibrahim Zakaria daripada Pas.

Bagaimanapun, Ahmad Husni tewas di kerusi Parlimen itu apabila gagal mengatasi Ahmad Faizal yang menang selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya