JELI: Penyandang kerusi Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa akan terus memberikan khidmat kepada penduduk di sini meskipun membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas faktor kesihatan.
Tok Pa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bagaimanapun berkata, beliau masih lagi menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas.
“Ambo tidok tanding doh (PRU15), tapi masih lagi tok wokil DUN Ayer Lanas dan akan jago lagi adik-kakok sapa bilo-bilo.
“Ambo juga jago adik-kakok sejak tahun 1994 lagi, setiap minggu maghi dan ambil berat pasal adik-kakok sebab Program Pembasmian Miskin Tegar ni ambo. Seluruh Malaysia ambo jago program ini, kalu tempat lain ambo buat, Jeli mesti nombor 1,” katanya semasa menyampaikan ucapan ringkas pada Program Penanaman Pokok Herba Bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar keluarga Malaysia (BMKTKM 2022-2025) di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual, di sini hari ini.
Tok Pa dalam ucapannya itu turut memberitahu, dirinya cukup dekat dengan masyarakat Orang Asli di Sungai Rual.
Katanya, masyarakat Orang Asli akan terus dibela bagi memastikan mereka mendapat segala kemudahan disediakan oleh kerajaan.
Sebelum ini Tok Pa menerusi satu kenyataan mengesahkan beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli atas faktor kesihatan.
Sebagai ganti, Setiausaha politiknya Zahari Kechik diumumkan sebagai calon Parlimen Jeli yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bertanding menggunakan logo Pas sebagai rakan sekutu Perikanan Nasional (PN).
Tok Pa memenangi Parlimen Jeli atas tiket BN sejak tahun 1995 dan mempertahankan kerusi berkenaan selama enam penggal berturut-turut sebelum menyertai Bersatu.
Dalam PRU15 pada 19 November ini Zahari bakal berdepan tentangan tiga lagi calon iaitu Dr. Muhammad Daud (Gabungan Tanah Air), Norwahida Patuan (BN) dan Md. Radzi Wahab (Pakatan Harapan).
PRU14 lalu, Tok Pa yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 6,647 menewaskan calon Pas dan PKR. – UTUSAN