Prabakaran mula bekerja, berbakti kepada rakyat Batu

Prabakaran mula bekerja, berbakti kepada rakyat Batu

P. Prabakaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Calon dari Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran akan memastikan pengundi berpuas hati selepas memilihnya pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Prabakaran berkata, pertembungan 10 penjuru di satu kawasan Parlimen bukan perkara yang mudah, malah, beliau sendiri gementar, namun, kekal percaya pengundi akan memilih calon yang mempunyai rekod bekerja yang baik dan dikenali.

Menurut beliau, jumlah majoriti undi yang diperolehnya iaitu sebanyak 22,241 pada PRU15 adalah seakan-akan sama jumlah majoriti diperolehnya semasa PRU14 yang menyaksikan kemenangan untuk dua penggal berturut-turut.

“Jadi, ini menunjukkan momentum itu ada, sekarang, apabila saya mendapat mandat daripada pengundi di kawasan Batu. Saya akan pastikan khidmat saya kepada mereka di peringkat terbaik bermula hari ini juga.

“Saya akan turun ke padang untuk berjumpa penduduk dan berterima kasih kepada pengundi secara bersemuka seperti dari rumah ke rumah mahupun ke pasar dan sebagainya,” katanya semasa ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan rasmi.

Pertembungan 10 penjuru menyaksikan Prabakaran tampil sebagai juara dengan jumlah undi 45,716 dan diikuti oleh calon daripada Perikatan Nasional, Azhar Yahya iaitu undi sebanyak 23, 475.

Prabakaran berkata, beliau sedia berganding bahu dengan sembilan calon lain yang bertanding di kawasan tersebut.

“Pihak lawan saya sebahagian hilang deposit mereka dan semasa berkempen saya banyak berjumpa mereka sebelum ini. Saya rasa walaupun Batu mempunyai 10 calon, tetapi kempen dilakukan dengan baik tanpa provokasi.

“Walaupun saya dapat dua laporan polis dan satu lagi saya tunggu sebab ada orang kata nak saman saya. Jadi, saya tunggu.

“Saya rasa selepas ini mana-mana calon parti mahupun bebas yang ingin bekerjasama dengan saya akan diterima baik,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya