Polis terima 33 laporan nama, kad pengenalan diguna orang lain

PRU15: Polis Pulau Pinang terima 33 laporan nama, kad pengenalan diguna orang lain untuk mengundi

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membuka sebanyak 28 kertas daripada 33 laporan yang diterima berkaitan kes nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan menyamar sebagai pengundi sebenar.

Menurutnya, kes itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000 jika sabit kesalahan.

Jelas beliau, kes itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 76 laporan yang diterima polis Pulau Pinang sepanjang tempoh pelaksanaan PRU15 antara 5 hingga 19 November lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 43 kertas siasatan dibuka dengan empat kes berjaya diselesaikan selepas empat suspek telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, sepanjang tempoh PRU15 juga, pihaknya menerima laporan berkaitan sebuah video yang tular di media sosial melibatkan seorang pemimpin parti politik yang menyentuh sensitiviti agama.

Ujar beliau, sebanyak lapan laporan polis turut diterima di negeri lain melibatkan video itu iaitu tiga di Kuala Lumpur; dua di Perak dan masing-masing satu laporan di Pahang; Kelantan dan Sabah.

“Kes ini telah disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan Mohd. Shuhaily berkata, Polis Pulau Pinang turut menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di 12 lokasi di seluruh negeri itu seperti yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula semalam.

Ujarnya, SJR itu dibuka masing-masing sebanyak tiga di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (SPS); dua di Seberang Perai Tengah (SPT); empat di Seberang Perai Utara (SPU) dan satu di Barat Daya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya