JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditahan kerana menipu sekurang-kurangnya lima mangsa dengan menjual beg tangan dan jam mewah melibatkan kerugian kira-kira RM20 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang ditahan di Kuala Lumpur, Ahad lalu selepas pihaknya menerima empat laporan daripada mangsa iaitu golongan ahli perniagaan yang berusia antara 31 hingga 40 tahun.
“Mereka membuat laporan polis antara Ogos hingga November tahun ini, sebelum pihak polis memulakan siasatan terhadap suspek yang berusia 32 tahun.
“Mangsa mendakwa telah ditipu dalam urusan pembelian jam tangan dan beg tangan edisi khas serta terhad melibatkan jenama mewah seperti LV, Chanel, Dior, Hermes, Rolex, Patek Philippe dan Audemars Piguet melibatkan kerugian RM20 juta.
“Setakat ini terdapat empat mangsa di Johor dan seorang di Perak. Kemungkinan akan ada mangsa lain tetapi belum ada laporan diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menawarkan jam tangan dan beg tangan edisi mewah serta terhad kepada mangsa dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.
“Suspek akan bertemu secara bersemuka dengan mangsa untuk mendapatkan kepercayaan mereka sehingga menyebabkan mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.
“Setelah bayaran dibuat, suspek akan melarikan diri bersama-sama wang yang telah dibayar mangsa dan gagal dihubungi,” jelasnya.
Kamarul Zaman memberitahu, polis berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah kediaman di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pukul 4.45 petang, Ahad lalu.
“Suspek telah dibawa ke Johor untuk siasatan melibatkan empat kes yang dilaporkan di daerah ini dan Iskandar Puteri. Selain itu siasatan turut mendapati suspek terlibat dalam satu kes yang dilaporkan di IPK Perak dengan modus operandi sama,” katanya sambil memberitahu suspek kini ditahan reman bermula semalam hingga 27 November ini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat atau denda, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN










