Pokok ru Pantai Puteri hempap bayi

Pokok ru Pantai Puteri hempap bayi

TUMINAH Kadi (kiri) dan Lim Ban Hong (kanan) menghantar bayi yang cedera dihempap pokok ru ke dalam ambulans dalam kejadian di Pantai Puteri, Melaka. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Malang sememangnya tidak berbau apabila seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan dan ibunya cedera dihempap sebatang pokok ru yang tumbang di Pantai Puteri di sini, kira-kira pukul 6.30 petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, beliau dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong yang kebetulan berada berhampiran kawasan itu dimaklumkan orang awam berkenaan kejadian kira-kira pukul 6.45 petang.

“Saya dimaklumkan ibu dan bayi berada berhampiran pantai dan sedang menyaksikan suami bersama anak-anaknya mandi laut sebelum pokok itu tiba-tiba tumbang dan menghempap mereka.

“Akibatnya, ibu dan bayi tersembam ke pasir dan menyebabkan bayi berkenaan mengalami masalah sesak nafas.

“Orang ramai yang berada di situ segera membantu dan saya turut menghubungi balai polis serta ambulans untuk membawa mangsa ke hospital dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Pada Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pemandangan pantai terpanjang di Melaka, Pantai Puteri yang suatu ketika dahulu indah dengan 20 baris pokok ru dan menjadi lokasi tumpuan aktiviti perkelahan, kini kelihatan cacat dengan sisa batang pokok yang tumbang akibat hakisan pantai.

Tinjauan di pantai sepanjang 2.5 kilometer itu mendapati, lebih 15 batang pokok ru dibiarkan mereput di pesisiran pantai dan pengunjung terpaksa berkelah dalam suasana yang menyedihkan serta berbahaya itu.

Dalam pada itu, Tuminah turut mengakui, peristiwa pokok ru tumbang di pantai itu bukanlah kejadian pertama memandangkan usia pokok berkenaan sudah melebihi 20 tahun.

“Walaupun kerja-kerja cantasan kerap dilakukan secara berkala oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), namun faktor akar pokok yang tidak bersifat seperti akar tunjang menyebabkannya tidak kukuh seperti pokok lain.

“Pada masa sama, kita juga bercadang untuk menutup sementara pantai bagi aktiviti perkhemahan memandangkan musim hujan pada ketika ini boleh membahayakan pengunjung,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.