IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak masih belum menentukan calon Menteri Besar mereka di negeri ini jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, setakat ini tiada lagi perbincangan dilakukan kepimpinan berkaitan perkara itu.
“Kita tidak pernah bincang lagi soal itu (calon Menteri Besar) tapi saya yakin kepimpinan akan membuat keputusan. Kita ada perancangan dari segi manifesto dan sebagainya.
“Seingat saya, selepas sahaja selesai proses penamaan calon akan ada proses atau pengumuman-pengumuman yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi di peringkat negeri sama ada tentang Menteri Besar atau manifesto,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada pengumuman calon PN Perak di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) di Perak.
Menurut Rafizi, Zainal Azman yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri Perak dan dijangka bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang. itu merupakan calon paling layak untuk jawatan tersebut.
Barisan Nasional (BN) juga sebelum ini turut menamakan semula penyandang kerusi DUN Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar sekiranya parti itu menang pada PRU15.
Pemilihan Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu kerana berjaya menunjukkan prestasi cemerlang ketika mentadbir Perak.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Zainol Fadzi berkata, PN menyasarkan sekurang-kurangnya memenangi 30 kerusi DUN di Perak.
“PN bertanding di semua 59 kerusi, jadi sudah tentu kita menyasarkan sebanyak mungkin kerusi. Kita sedang berusaha untuk memastikan semua kerusi-kerusi yang ditandingi ini menang tidak kiralah di peringkat Parlimen atau DUN.
“Sasaran kita mahu jumlah semaksimum yang mungkin, sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mentabir Perak selain menjadi antara negeri penyumbang untuk kerusi Parlimen bagi pembentukam kerajaan di peringkat pusat,” katanya. – UTUSAN










