PM, Zafrul ‘arkitek’ Bajet 2023 - Utusan Malaysia

PM, Zafrul ‘arkitek’ Bajet 2023

PENDUDUK Felda Seberta, Jariah Wahab, 70, (dua dari kanan) menyampaikan hadiah istimewa kepada Ismail Sabri Yaakob diiringi calon DUN Kemayan, Khaizulnizan Mohamad Zuldin (kanan) bersempena majlis Kenduri Rakyat yang diadakan di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak di Bera, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain beliau, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan ‘arkitek’ bagi Bajet 2023 yang sebahagian besarnya menjadi manifesto Barisan Nasional (BN).

Ismail berkata, dari segi latar belakang Bajet 2023 itu datang daripada beliau yang merupakan Naib Presiden UMNO dan Tengku Zafrul selaku Bendahari UMNO.

“Saya selaku Naib Presiden UMNO dan Datuk Seri Zafrul selaku Bendahari UMNO. Jadi yang menjadi arkitek kepada manifesto atau Bajet 2023 adalah saya dan Zafrul.

“Tiada siapa yang tahu walaupun menteri-menteri mana-mana parti pun tetapi tiada siapa pun tahu tentang Bajet itu sehingga ia dibentangkan.

“Ia adalah idea daripada saya dan Zafrul. Sebab itulah bajet BN adalah bajet yang berpijak di bumi nyata kerana sebahagian besarnya adalah daripada Bajet 2023,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Kenduri Rakyat di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak di sini hari ini.

Ismail Sabri menganggap tindakan Perikatan Nasional (PN) yang mahu meneruskan Bajet 2023 dalam manifesto mereka sebagai cubaan menciplak bajet yang dibentang kerajaan di bawah pimpinan beliau.

Perdana Menteri juga menegaskan Bajet 2023 apabila sudah dibentangkan ia sudah mempunyai dana untuk melaksanakan projek-projek yang dijanjikan.

“Berbeza dengan manifesto biasa parti pembangkang yang tidak berasaskan kepada perkembangan yang ada dalam kerajaan dan sebagainya. Dan mereka boleh janji apa sahaja. Seperti yang saya kata, pada PRU14, PH menjanjikan pelbagai. Tetapi overpromised sehingga tidak boleh dilaksanakan.

“Sebab, apabila mereka membuat janji melalui manifesto, mereka tidak peduli sama ada boleh laksana atau tidak. Ianya adalah janji-janji manis hanya untuk memikat rakyat untuk mengundi mereka,” katanya.

Menyentuh kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan keengganan Ismail Sabri memberikan moratorium khas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau menafikan sekerasnya dakwaan terbabit.

“Saya tidak pernah kata enggan. Sewaktu perkara ini dibangkitkan dahulu, saya pernah minta menteri kewangan melihat perkara ini sama ada kita boleh laksanakan atau tidak.

“Tapi yang penting adalah dalam Bajet 2023, perkara melibatkan PMKS diberi perhatian sebagai contoh, geran percuma one-off RM1,000 kepada setiap penjaja dan peniaga kecil termasuk pemandu teksi. 

“Peruntukan RM1 bilion untuk satu juta PMKS. Begitu juga dengan dana untuk pinjaman bagi memulakan perniagaan dan juga penambah modal perniagaan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), AgroBank, SME Bank. Ini juga disediakan oleh kerajaan melalui bajet.

“Maknanya bukan setakat moratorium, malah kita membantu peniaga ini mengembangkan perniagaan. Saya tidak pernah menolak (moratorium) tetapi minta menteri kewangan untuk mengkaji balik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya