Pindah ke kubu kuat Pas, Rozieana kena ‘pecut’ 200 peratus rampas Guar Sanji - Utusan Malaysia

Pindah ke kubu kuat Pas, Rozieana kena ‘pecut’ 200 peratus rampas Guar Sanji

ROZIEANA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Rozieana Ahmad yang berpindah ke Guar Sanji dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengakui sedih dan sayang meninggalkan kawasan berkenaan yang dianggap sudah sebati dengannya.

Bagaimanapun beliau tetap bersedia ke kubu kuat Pas itu dan perlu ‘memecut’ dan berusaha lebih 200 peratus dalam tempoh menjelang PRU15 bagi memenangi hati pengundi di situ.

Bagi Rozieana, adat bertanding dan berpindah di mana-mana kerusi itu adalah perkara biasa yang perlu dilalui.

“Memang sayang tinggal Pauh, saya belum habis bagi sepenuhnya lagi. Kalau boleh hajat saya itu memang mahu kekal di situ kalau boleh sepenggal lagi. Bagaimanapun ia adalah ketentuan Allah SWT dan saya terima dan akan melakukan yang terbaik.

“Sangat sedihlah sebab penduduk Pauh sudah seperti keluarga saya dan hari-hari bersama kepimpinan dan saya turun bersama rakyat. Pengundi memang berharap saya berada di Pauh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar pengumuman calon BN DUN Perlis di Kompleks DUN di sini malam tadi.

Dalam pengumuman tersebut, Rozieana menjadi satu-satunya daripada sembilan penyandang yang kekal berpindah ke kerusi DUN lain dalam pilihan raya kali ini.

Kerusi DUN Pauh akan diwakili calon muka baharu, Syed Atif Syed Abu Bakar yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau.

Di Guar Sanji, Rozieana bakal berdepan penyandang dari Pas, Mohd. Ridzuan Hashim yang juga disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar jika Perikatan Nasional (PN) menang di Perlis dalam pilihan raya 19 November ini.

Sementara itu, Rozieana berkata, di tempat baharu, beliau perlu bekerja lebih kuat bagi mendekati pengundi-pengundi di situ sebagaimana dilakukan di kawasan Pauh sebelum ini.

Katanya, perkhidmatan yang dibuat di Pauh akan diteruskan di Guar Sanji dan mungkin lebih baik lagi.

“Saya akan menggunakan pengalaman sebagai Ketua Puteri dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Arau yang mana kita bergerak ke semua DUN. Jadi bila di DUN Guar Sanji satu cabaran, sebab kawasan kubu pas,” katanya.

Dalam pada itu, Rozieana yakin pengundi di Pauh dapat menerima calon baharu yang diketengahkan itu.

“Calan baharu (Pauh) juga Ketua Pemuda dan saya yakin pengundi boleh menerimanya sebagai calon di Pauh. Saya juga yakin Syed Atif dapat beri komitmen terbaik untuk pengundi-pengundi di Pauh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya