Pindaan had khidmat 10 tahun PM perlu diteruskan - Wan Junaidi - Utusan Malaysia

Pindaan had khidmat 10 tahun PM perlu diteruskan – Wan Junaidi

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu segala agenda dan perancangan membabitkan portfolionya diteruskan oleh kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Wan Junaidi berkata, demi kesinambungan dan penyelarasan dasar perundangan negara, pewujudan semula Kementerian Undang-Undang (KUU) juga perlu dilaksanakan bagi memastikan kecekapan dalam melaksanakan semua agenda perundangan dapat diteruskan.

Katanya, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini dalam tindakan agensi pusat.

“Bagi memastikan transformasi Parlimen yang telah dirancang, Akta Perkhidmatan Parlimen dan Pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 sedang dalam tindakan pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU, JPM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Susulan daripada pindaan Perlembagaan yang merangkumi peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pindaan juga perlu dibuat terhadap perlembagaan bagi Larangan Ahli Dewan Negara Bertukar Parti.

“Selain itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dibuat bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti mana dirancang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, bagi memastikan sistem keadilan jenayah di Malaysia sentiasa diberi perhatian, pindaan kepada tujuh akta yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan menetapkan budi bicara mahkamah perlu dibentangkan ke Parlimen dalam masa terdekat.

“Begitu juga dengan peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan jenayah anti menghendap (antistalking),” katanya.

Sementara itu katanya, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Parlimen dan Undang-Undang, beliau sentiasa berdepan dengan banyak jangkaan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.

“Ini merangkumi pelbagai reformasi yang perlu dilaksanakan bersama agensi-agensi berkaitan membabitkan RUU Pendanaan Politik; RUU pengurusan harta yang disita dan dilucut hak; transformasi kepada undang-undang insolvensi; penambahbaikan sistem pilihan raya dan kajian pengurangan kos pilihan raya kecil/negeri/umum; RUU Kebebasan Maklumat dan Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Selain itu ia juga membabitkan kajian pengasingan/pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya; kajian penetapan badan kawal selia Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); dan kajian procurement system untuk perolehan projek kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penambahbaikan Perjanjian Malaysia 1963 juga perlu dilaksanakan dengan mengkaji persempadanan semula kawasan-kawasan Parlimen Malaysia.

“Ia bagi menambah kerusi Sarawak dan Sabah ke nisbah semasa perjanjian 1963 dan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan pelancongan ke dalam senarai bersama (kuasa Persekutuan dan Negeri),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya