KUALA LUMPUR: “Sehingga hari ini, Malaysia masih ada sembilan sultan dan agama Islam tidak pernah terusik walaupun PH memerintah selama 22 bulan.”
Demikian kata Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar ketika berucap dalam Program Rapat Mega Harapan di Dataran Pantai Ria, di sini malam ini bagi menyangkal dakwaan Pakatan Harapan (PH) menggugat agama rasmi negara dan institusi diraja.
Dakwanya, pihak lawan menggunakan permainan sentimen memburukkan PH bagi meraih undi pada PRU15 walaupun ia berbentuk penipuan dan fitnah.
“Mengapa dahulu semasa Pas bekerjasama dengan DAP ketika berada dalam Pakatan Rakyat (PR), tiada isu DAP ini komunis dibangkitkan?
“Tiba-tiba 2016, macam-macam tuduhan dilemparkan. Selepas itu, dalam 22 bulan itu juga PH dituduh macam-macam,” katanya.
Dalam pada itu, katanya,, tempoh pelaksanaan manifesto PH adalah seperti masa menjawab peperiksaan yang disingkatkan sehingga menyebabkan ia tidak sempat dilaksanakan.
Program tersebut turut dihadiri oAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. – UTUSAN