PH perlu kerja keras jika BN ‘enggan mengalah’ di Padang Serai - Utusan Malaysia

PH perlu kerja keras jika BN ‘enggan mengalah’ di Padang Serai

MOHAMAD Sofee Razak berceramah ketika berkempen sempena PRU15 Parlimen Padang Serai di Kampung Padang Ubi, Padang Serai di Kulim. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Pakatan Harapan (PH) mengakui perlu bekerja lebih kuat untuk mengekalkan Parlimen Padang Serai kepada gabungan itu sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak berkompromi seperti yang berlaku di Tioman.

Calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak berkata, peluang mereka untuk menang tetap ada walaupun tanpa diberi laluan oleh BN memandangkan rekod perkhidmatan penyandang, mendiang M. Karupaiya amat baik.

“Satu tugas besar kepada saya untuk memastikan PH menang di sini dan teruskan kecemerlangan ditinggalkan mendiang. Seperti mana berlaku di Tioman, PH kompromi kepada BN.

“Cuma kita harap perkara itu boleh berlaku juga di Padang Serai iaitu BN beri peluang kepada PH. Tapi kalau sekiranya berlaku pertembungan (PH-BN) pada pandangan saya kami kena kerja lebih kuat untuk PH menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai di sini.

Semalam, PH memutuskan memberi laluan kepada BN pada PRU15 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Datuk Mohd. Hatta Ramli berkata, langkah itu diambil sebagai menunjukkan kesepakatan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang.

Sementara itu, Mohamad Sofee berkata, mereka juga tidak mengadakan sebarang perbincangan bersama BN berhubung perkara itu setakat ini dan merasakan ia tanggungjawab pemimpin atasan kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Setiausaha PH Kedah itu turut mengharapkan pimpinan utama PH turun membantu kempen di Parlimen Padang Serai bagi menaikkan semangat jentera dan menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Bagaimanapun kita faham mereka sedang sibuk termasuk untuk membentuk Kabinet dan urusan-urusan lain dan selepas selesai perkara itu mungkin sebahagian besar akan turun ke sini kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya