fbpx

PH beri bayangan sudah menang 90 kerusi Parlimen hari ini

RAFIZI Ramli (tengah) bersama penyokongnya selepas ceramah di Padang Taman Muda di Pandan, malam ini.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberi bayangan sudah memenangi 90 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan tahap sokongan rakyat, setakat hari ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, keputusan tidak rasmi tersebut diperoleh hasil soal selidik harian yang dilakukan parti berkenaan di seluruh negara.

Katanya, perkembangan positif itu sekali gus meletakkan PH di kedudukan paling hadapan berbanding lawannya, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Hari ini punya keputusan kita berada di kedudukan nombor satu mengalahkan BN dan PN, sepanjang hampir seminggu berkempen.

“Saya rasa kita hampir memenangi 90 kerusi Parlimen dan kalau kempen difokuskan terutama di kawasan ramai orang Melayu, maka dalam seminggu lagi saya harap PH boleh mendapat lebih 100 kerusi,” katanya dalam ceramah di Padang Taman Muda di Pandan di sini, sebentar tadi.

Menurut Rafizi, PH merupakan satu-satunya gabungan politik yang mampu menubuhkan kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun, katanya, parti itu boleh tewas sekiranya peratusan keluar mengundi pada 19 November ini rendah.

“Kalau lebih 75 peratus rakyat keluar mengundi, maka kita boleh menang dan stabil,” katanya.

Rafizi berkata, banyak perubahan boleh dilakukan PH kepada rakyat jika parti itu kembali berkuasa selepas PRU15.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan akan kekal bertanding di Parlimen Pandan sampai bila-bila dan enggan beralih angin ke tempat baharu sebagai tanda sayang kepada rakyat di kerusi berkenaan.

“Saya harap orang faham kalau saya bertanding sebagai ahli Parlimen saya hanya mahu bertanding di Pandan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN