Perlu RM38,000 tampung kos pembedahan barah tulang - Utusan Malaysia

Perlu RM38,000 tampung kos pembedahan barah tulang

MUHAMMAD ADLI Azahar (kanan) memegang bahunya yang disahkan menghidap barah tulang di rumahnya, di Taman Balok Sejahtera di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang bekas pe­kerja am di sebuah syarikat di Gebeng di sini, memerlukan RM38,000 bagi menjalani pembedahan di bahu kanannya yang disahkan menghidap barah tulang.

Muhammad Adli Azahar, 29, yang baru mendirikan rumah tangga awal Februari lalu dengan Nurul Effa Syamira Saimi, 25, dikesan menghidap penyakit tersebut pada Mei lalu dan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi sebelum pembedahan dilaksanakan.

Muhammad Adli berkata, pada mulanya dia menyangka sakit dialami di pangkal bahu disebabkan mengangkat barang-barang berat.

“Ketika saya dan seorang rakan mengangkat barang, tiba-tiba saya rasa sakit pada pangkal bahu dan merasakan seakan bahu terkehel. Saya buat keputusan untuk pergi berurut tapi tidak ada perubahan.

“Berikutan tidak selesa, saya pergi ke Hospital Tengku Am­puan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan dan pada mulanya, doktor ha­nya maklumkan saya mengalami frozen shoulder atau bahu membeku.

“Saya hanya dibekalkan ubat tahan sakit dan dibenarkan pulang serta turut dimaklumkan bahawa saya boleh bekerja se­perti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya, di Taman Balok Sejahtera di sini semalam.

Bercerita lanjut, Muhammad Adli berkata, pada September lalu akibat sakit berterusan di tambah dengan bengkak sema­kin membesar, dia pergi membuat pemeriksaan dan dirujuk ke klinik pakar di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota.

Katanya, keputusan pemeriksaan kesihatan mengesahkan dia menghidap barah tulang Osteosarcoma sekali gus terkejut memandangkan selama ini tahap kesihatannya dalam keadaan baik.

“Doktor pakar di sana menyarankan buat masa ini saya perlu melakukan rawatan kimoterapi sebanyak empat kali sebelum pembedahan menggantikan tulang di bahu yang rosak. Kemudiannya, saya perlu meneruskan baki pusingan kemoterapi sehingga cukup 11 kali pusingan.

“Dalam keadaan sekarang, bahu yang membengkak seakan sebesar bola ini membuatkan saya susah untuk tidur dan adakalanya terpaksa tidur dalam keadaan duduk,” katanya yang merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Katanya, untuk menjalani pembedahan, kos yang diperlukan begitu tinggi dan tidak mampu menyediakannya.

“Apabila memikirkan soal kos yang diperlukan, memang agak buntu memandangkan kami baru saja berkahwin, tambahan selama ini hanya saya yang keluar bekerja.

“Setakat ini pun masih memikirkan cara untuk memperoleh wang. Namun sesekali saya cuba melakukan kerja ringan di bengkel motosikal milik rakan jika keadaan kesihatan mengizinkan pada masa itu,” katanya.

Pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Adli di talian 0179075973 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB Bank bernombor 7607317219 milik Muhammad Adli Azahar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN