Perdana Menteri beri tumpuan pembangunan Sabah - Utusan Malaysia

Perdana Menteri beri tumpuan pembangunan Sabah

ISMAIL Sabri Yaakob (dua kiri) bersama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin semasa majlis bersama rakyat di PPR Gum Gum di Libaran hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memberi jaminan tumpuan terhadap pembangunan di Sabah akan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, seperti yang diumumkan pada Bajet 2023, Sabah akan menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.3 bilion, iaitu peruntukan tertinggi di Malaysia.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk peruntukan-peruntukan lain seperti menaik taraf sekolah-sekolah dan klinik-klinik desa daif di Sabah dan Sarawak.

Peruntukan tambahan akan diberikan bagi pelaksanaan penaiktarafan sebegitu agar isu sekolah dan klinik desa daif di Sabah dapat diselesaikan.

“Selain itu, saya juga sebutkan tentang pembinaan jalan-jalan kampung dan infrastruktur luar bandar termasuk capaian internet.

“Dulu, kita dengar ada yang panjat pokok untuk (dapatkan) capaian internet yang berlaku di sini.

“Justeru, dalam tempoh dua tahun, kita sasarkan 100 peratus kawasan di Sabah akan mendapat liputan internet 4G,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama rakyat Libaran di PPR Gum-Gum hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memberi jaminan perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diselesaikan secepat mungkin.

Menurut beliau, selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas MA63 yang turut dianggotai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mereka sentiasa menyemak senarai tuntutan yang termaktub dalam MA63 pada setiap bulan.

“Kita akan sediakan senarai bagi melihat perkara-perkara yang perlu diselesaikan. Jadi, sedikit demi sedikit kita selesaikan, termasuk yang saya sebutkan pasal bayaran hasil minyak melalui Petronas.

“Malah, rancangan masa hadapan juga telah dibincang dengan Sabah, dengan mewujudkan syarikat berkaitan minyak supaya Sabah juga mempunyai pegangan saham berkaitan penjualan minyak,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, kerajaan tidak meletakkan sebarang garis masa untuk menyelesaikan tuntutan MA63 namun, ia akan cuba diselesaikan secepat mungkin.

Menurut beliau, setakat ini hampir RM5 bilion cukai jualan Petroleum telah diberikan kepada Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya