Pengundi Bugaya tolak calon parti Warisan? - Utusan Malaysia

Pengundi Bugaya tolak calon parti Warisan?

JAMIL HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Wujud dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengutamakan ‘keluarga sendiri’ dengan meletakkan calon, Jamil Hamzah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, 19 November ini.

Keputusan Mohd. Shafie meletakkan anak saudara di Bugaya telah mengetepikan hasrat pengundi yang mahu supaya Ketua Wirawati Warisan Semporna, Faradibah Sabardin yang juga anak bekas penyandang kerusi DUN Bugaya, Allahyarhamah Manis Muka Mohd. Dara bertanding di sini.

Ibu Jamil iaitu Datin Hamidah Apdal adalah adik-beradik kandung Mohd. Shafie.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, wujud kemungkinan bahawa pengundi DUN Bugaya akan menolak Jamil semasa hari mengundi kerana beliau didakwa hanya mendekati rakyat semasa kempen malah tidak membantu dalam memperkembang dan mempromosi parti di sini.

Kata sumber, sekalipun bukan Faradibah diberi peluang bertanding, sekurang-kurangnya Mohd. Shafie mempertaruh individu berpengaruh dan anak jati Bugaya kerana sikap pengundi di sini lebih mengutamakan individu dan bukannya parti politik.

“Bagaimana boleh beliau mencalonkan ahli keluarga sendiri yang sememangnya tidak tinggal di sini? Ramai yang menghubungi kami bertanya tentang latar belakang Jamil kerana identitinya tidak jelas. Kami yakin susah bertempur dengan pihak lawan BN yang datang dari keluarga besar di sini.

“Calon Warisan pula tidak sesuai dalam keadaan kami sekarang adalah pembangkang. Sebab itu kami tiada hati membantu kempen beliau. Jujur kami sangat kecil hati dan hilang hormat terhadap Presiden. Tidak sangka yang Presiden sanggup mencalonkan Jamil semasa memberi watikah.

“Kalau pun beliau tidak mencalonkan individu kami mahu, setidaknya beritahu dahulu secara hati ke hati dengan kami yang calon Warisan bukan dari Bugaya. Malangnya, beliau langsung tidak hantar mesej WhatsAp atau berdepan dengan kami sebelum hari pengumuman calon,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun, Jamil semasa berkempen di sini kelmarin berkata, khabar angin mengatakan Warisan di sini tidak bersatu adalah fitnah, sebaliknya sokongan jentera Warisan terhadapnya tetap utuh malah kesetiaan akar umbi parti semakin bertambah.

PRK DUN Bugaya menyaksikan persaingan tujuh penjuru iaitu Mohd. Hassan Abu Bakar dari Pejuang; Jamil Hamzah (Warisan); Nazmawati Walli (PBM); Zulfadzli Shi Ahmad (Bebas); Karil Pg. Kuraini (PPRS); Abd. Aziz Mohd. Ibno (BN) dan Arastam Pandorog (PH).

Pada PRN DUN Sabah 2020, Manis Muka mempertahan Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas mendapat 8,557 undi. Manis Muka meninggal dunia pada 17 November 2020 akibat masalah buah pinggang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya