Penghulu tegur, rakam kumpulan lelaki pasang bendera parti lain cedera dibelasah - Utusan Malaysia

Penghulu tegur, rakam kumpulan lelaki pasang bendera parti lain cedera dibelasah

TANGKAP layar satu hantaran di laman sosial Facebook berkait dengan kejadian penghulu di pukul dalam kejadian di Kubang Kerian, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penghulu di Mukim Kenali di sini cedera akibat dibelasah lima lelaki hanya kerana menegur dan merakam tindakan mereka yang memasang bendera parti politik lain berhampiran bilik gerakan pusat mengundi Pas di Mulong di sini kelmarin.

Bagaimanapun, kelima-lima suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an itu ditahan polis masing-masing di Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 3.30 hingga 5 pagi semalam selepas beberapa jam kejadian tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika mangsa yang berusia 55 tahun berada di bilik gerakan pusat mengundi Pas di Mulong.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menyedari sekumpulan lelaki membawa bendera parti politik lain sebelum bertindak memasangnya berhampiran pusat mengundi itu.

“Mangsa telah menghampiri sekumpulan lelaki itu sebelum menegur dan merakam perbuatan mereka. Suspek yang tidak berpuas hati dengan teguran itu bertindak memukul mangsa sehingga tercetus pergaduhan.

“Insiden itu menyebabkan mangsa cedera pada mata dan belakang badannya sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk dirawat sebagai pesakit luar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, mangsa yang juga seorang peniaga telah membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian selepas kejadian itu sebelum polis menahan lima orang suspek untuk membantu siasatan.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama dua hari bermula semalam sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya