Penduduk bantah syarikat asing dapat tanah bina resort - Utusan Malaysia

Penduduk bantah syarikat asing dapat tanah bina resort

SEBAHAGIAN penduduk yang mengadakan bantahan projek pembinaan resort mewah di Teluk Keke, Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Lebih 2,000 penduduk di Pulau Perhentian di sini membantah tindakan kerajaan negeri menyerahkan tanah di Teluk Keke di pulau itu kepada sebuah syarikat perhotelan dari luar negeri ini untuk membina sebuah resort mewah berharga kira-kira RM500 juta.

Mereka berpendapat projek pembinaan resort tersebut sepatutnya dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri dan bukan diserahkan kepada syarikat asing.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Perhentian, Zainudin Mohd, 53, berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya menyerahkan tanah milik kerajaan negeri yang dianggarkan seluas 42 hektar itu kepada pihak luar.

Katanya, penduduk tidak menolak pembangunan termasuk pembinaan resort, namun tidak mahu pulau tersebut dikuasai oleh syarikat asing selepas ini.

Menurutnya, mereka percaya nasib akan berlaku seperti di Pulau Redang apabila penduduk tempatan sekadar menjadi pemerhati kepada pembangunan pelancongan selepas syarikat asing menguasai sektor tersebut di pulau berkenaan.

“Kami mengharapkan kerajaan negeri tidak meneruskan projek pembinaan resort mewah di pulau pelancongan ini de­ngan menyerahkan tanah kepada syarikat asing itu,” katanya selepas mengetuai seramai 50 penduduk yang mengadakan bantahan projek pembinaan resort mewah di Teluk Keke, Pulau Perhentian di sini semalam.

Difahamkan, kerajaan negeri dan syarikat perhotelan bertaraf antarabangsa itu mengadakan perjanjian pajakan bagi pembinaan resort mewah pada tahun lepas.

Zainudin berkata, tapak projek pembinaan resort itu menjadi kawasan larangan termasuk dalam kalangan penduduk tempatan lebih tiga bulan lalu.

Katanya, kawasan itu juga merupakan tempat penduduk tempatan beriadah bersama ke­luarga kerana mempunyai pantai yang landai.

“Tapak pembinaan resort itu juga satu-satu tempat helikopter mendarat di pulau ini untuk bantuan kecemasan,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman ketika ditemui di Kuala Besut pula berkata, beliau akan membangkitkan isu bantahan penduduk tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri, bulan ini.

“Saya juga akan mencadang­kan projek pembinaan resort di lokasi itu dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri sekiranya masih berhasrat meneruskan pembangunan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.