Pelabur ‘ugut’ keluar jika krisis air Melaka tak selesai

Pelabur ‘ugut’ keluar jika krisis air Melaka tak selesai

SULAIMAN Md. Ali dalam wawancara eksklusif Utusan Malaysia di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Krisis air yang me­landa Melaka pada awal 2020 bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan dan emosi rakyat, malah lebih serius turut mengancam kedudukan ekonomi negeri.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, catuan bekalan air yang berpanjangan tanpa sebarang tanda untuk pulih telah menjejaskan operasi para pemain industri, sehingga memaksa mereka memberi ‘kata dua’ kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang baharu ditubuhkan ketika itu.

Jelasnya, persatuan pengilang-pengilang memaklumkan, mereka akan menghentikan operasi di negeri ini memandang­kan majoritinya memerlukan antara satu hingga dua juta liter air sehari untuk beroperasi.

Bagaimanapun, kata Sulaiman, tidak sampai sebulan mentadbir selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12 pada 9 Mac 2020, hasil kecekapan perancangan kerajaan negeri diterajui kepemimpinan BN telah berjaya menghapuskan catuan bekalan air secara menyeluruh pada 1 April 2020.

“Jadi cabaran ketika mengambil alih itu agak sukar, kemudian dalam sektor ekonomi pula kita ada sektor industri yang pelabur datang sini, pada waktu ketika itu datang berjumpa saya. Dia kata, kalau air di Melaka tak boleh diselesaikan, dia kata yang berhormat, we are to move get out from Melaka.

“Hati saya lagi kecut, persa­tuan pengilang-pengilang datang di sini. Contoh macam Petronas, mereka memerlukan dua juta liter air satu hari. Lain-lain kilang yang besar-besar seperti Infineon dan Orion memerlukan satu hari sampai satu juta liter, sukar pada ketika itu.

“Jadi saya beritahu mereka, bagi saya sedikit masa. Saya tidak abaikan semua aduan yang kita terima. Saya kata kita ada kaedah-kaedah yang boleh kita laksanakan supaya permasalahan air ini dapat diselesaikan. Alhamdulillah, semua kaedah yang kita buat itu nampaknya membuahkan hasil,” katanya dalam wawancara eksklusif di Seri Negeri di sini, baru-baru ini.

Mengulas berkenaan pemulihan ekonomi negeri pasca pandemik Covid-19, Sulaiman berkata, bermula Januari hingga Mac tahun ini, Melaka menca­tatkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) di tempat kelima tertinggi di Malaysia bernilai RM2.6 bilion.

Jelasnya, angka itu menunjukkan perkembangan positif kerana melebihi separuh daripada sasaran tahunan ditetapkan kerajaan negeri iaitu RM5 bilion dalam sektor pembuatan.

“Tahun lalu kita RM4 bilion lebih, hampir RM5 bilion, 2020 kita dapat juga dalam RM3 bi­lion. Walaupun pandemik ketika itu, bila kita ambil alih, kenapa pelabur berani? Sebab kestabilan politik, kerajaan yang stabil orang berani datang.

“Waktu Pakatan Harapan (PH) dulu, memang 2018 mereka kata dapat buat lebih RM2 bi­lion. Tapi itu berdasarkan 2017, kita punya potensi nilai-nilai pelaburan yang ketika itu sudah berbincang, tinggal nak masuk sahaja pada 2018.

“Yang masuk betul-betul masa PH hanya RM300 juta ke bawah. Tak sampai RM1 bilion pun, boleh semak 22 bulan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×