PETALING JAYA: Sebanyak 1,994 permit ceramah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di 14 kontinjen seluruh negara sejak 5 November lalu.
Daripada jumlah itu, kontinjen tertinggi permit dikeluarkan iaitu di Sabah dengan 400 diikuti Perak (300 permit) dan Sarawak (226 permit).
Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sebanyak 46 ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan.
“Sebanyak 24 ceramah direkodkan di Kuala Lumpur diikuti Johor (sembilan) dan Perlis (enam),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, kata Hazani, sebanyak 25 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen direkodkan.
Kata beliau, sepanjang tempoh itu, seorang lelaki ditahan semalam.
“Sebanyak empat kertas siasatan dibuka di Kedah dan Selangor manakala masing-masing tiga di Pulau Pinang dan Sarawak.
“Selain itu, dua kertas siasatan di buka di Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor, manakala Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan (satu),” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Hazani, seorang lelaki telah ditahan kerana disyaki mencetuskan kekecohan di bilik mesyuarat pusat daerah mengundi (PDM) cawangan UMNO Bachang Baru, Batu Berendam Melaka, pada pukul 11 malam tadi.
Hazani berkata, sebelum kejadian itu, pengadu bersama ahli UMNO yang lain sedang bermesyuarat berkaitan pergerakan PRU15 dalam keadaan baik.
“Suspek telah datang ke bilik mesyuarat itu dalam keadaan marah, lalu membuat kecoh serta menterbalikkan meja, kerusi serta mengoyakkan kain bunting.
“Suspek juga menolak pengadu ke arah dinding dan mengancam untuk memukulnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










