PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menguasai hampir semua kerusi Parlimen di kawasan bandar dan negeri-negeri di pantai barat semenanjung dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara.
Penguasaan PH jelas dominan di Pulau Pinang, sebahagian besar Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Nama-nama besar PKR dan DAP bukan sahaja terus mengekalkan kerusi masing-masing, malah meningkatkan majoriti undi dan berjaya menarik pengundi muda yang mahukan perubahan,
Penguasaan PH jelas dilihat di Damansara, Bukit Bintang, Petaling Jaya, Subang, Bukit Bintang, Bagan, Tanjung, Bukit Bendera, Gelugor, Jelutong, Bayan Baru, Kepong, Batu Kawan, Gombak, Ampang, Pandan, Puchong, Shah Alam, Seremban, Muar, Bagan, Taiping, Bentong, Teluk Intan, Sibu, Miri, Iskandar Puteri, Pulai dan Johor Bahru.
PH juga berjaya menembusi kawasan-kawasan lain di seluruh negara dan mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan parti-parti lain.
Sehingga pukul 10.30 malam, keputusan tidak rasmi menunjukkan PH meMenangi hampir 100 kerusi parlimen.
Nama-nama besar PH seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memenangi kerusi masing-masing seperti dijangkakan.
PH turut menguasai Bentong menerusi calonnya, Young Syefura Othman manakala Liew Chin Tong mengekalkan kerusi PH di Iskandar Puteri yang sebelum ini disandang oleh Lim Kit Siang.
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo pula meraih kemenangan di Damansara, diikuti dengan Fong Kui Lun di Bukit Bintang, Lim Lip Eng (Kepong) dan Yeo Bee Yin (Puchong).
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kembali menguasai Parlimen Pandan manakala Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merampas kerusi Gombak daripada penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
PH juga berjaya merampas semula kerusi Ampang apabila Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail menewaskan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mempertahankan kerusi Muar manakala bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir mengekalkan dominasi PH di Johor Bahru.
Calon muka baharu, Syahredzan Johan pula mengekalkan penguasaan PH di Parlimen Bangi dan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut mengekalkan kerusi PH di Parlimen Pulai.
Penguasaan PH itu diraih selepas 15.8 juta daripada 21.17 juta pengundi berdaftar atau 75 peratus pengundi keluar mengundi di 220 kerusi Parlimen dalam pilihan raya kali ini.
Keputusan itu membuka laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Ini juga kali pertama Anwar memimpin PH ke arah kemenangan dalam pilihan raya umum, selepas gabungan itu yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad menang pada PRU14.
Kejayaan PH itu mengatasi pencabar terdekat, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Malah, PH berjaya merampas semula beberapa kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu Gombak, Ampang, Bandar Tun Razak, Batu Pahat, Segamat dan Tebrau.
Bagaimanapun, pengundian di dua kerusi Parlimen iaitu Padang Serai di Kedah dan Baram di Sarawak ditangguh kerana masing-masing calon meninggal dunia dan cuaca banjir.
Sementara itu di Sabah. PH menang lima kerusi iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Sandakan. – UTUSAN










