Padu dihasilkan ambil kira kemampuan kewangan - Ahmad

Padu dihasilkan ambil kira kemampuan kewangan – Ahmad

AHMAD Maslan (kiri) menemui para peniaga dalam program Tinjauan Mesra di Bandar Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Manifesto Perancangan Amal dan Usaha (Padu) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran diberikan setelah mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin semua tawaran tersebut mampu dilaksanakan oleh BN sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Semua tawaran yang digariskan itu telah mengambil kira implikasi kewangan dan diyakini dapat dilakukan walaupun pihak lawan (pembangkang) menyifatkannya sebagai tidak realistik,” katanya ditemui selepas mengadakan Tinjauan Mesra di Pekan Benut, dekat sini.

Ahmad yang juga calon BN di Parlimen Pontian menyifatkan manifesto BN sebagai  komprehensif dan merangkumi semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, Padu bukan janji kosong kerana dihasilkan dengan teliti berdasarkan keupayaan kewangan negara.

Katanya, Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan wakil-wakil parti komponen BN serta beliau sendiri terlibat dalam penyediaan manifesto tersebut.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga terlibat agar dana atau peruntukan adalah mencukupi supaya manifesto itu boleh dilaksanakan,” katanya.

Ahmad menegaskan, manifesto BN adalah lebih baik daripada yang ditawarkan Perikatan Nasional(PH) dan Pakatan Harapan (PH).

“Manifesto ini akan dijadikan aku janji yang ditepati kepada semua pihak jika BN diberikan kepercayaan oleh pengundi untuk menerajui Putrajaya sebagai parti yang dominan pada 19 November nanti,” ujarnya.

Mengenai kempennya yang telah memasuki hari keempat, beliau menaruh keyakinan gerak kerja BN yang tersusun akan berjaya menambat hati pengundi untuk memilih BN pada hari pengundian nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN