KLUANG: Penerimaan kaum Cina dan India terhadap calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Simpang Renggam memberangsangkan berdasarkan beberapa siri pertemuan sepanjang enam hari berkempen, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, masyarakat di Simpang Renggam menerima baik kehadiran beliau di kerusi berkenaan.
“Ini adalah petanda awal sokongan yang diyakini mampu diterjemahkan kepada undi ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu depan.
“Mereka juga menyambut baik kedatangan saya semasa ‘walkabout’ sama ada di bandar Simpang Renggam ataupun di Pekan Layang-Layang,” katanya selepas Majlis Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Warung Wak Kayun di Kampung Sahari di Simpang Renggam, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor lebih gemar mengambil pendekatan berdialog ketika berkempen berbanding mengadakan debat dengan mana-mana pihak.
Katanya, kaedah berdialog dengan rakyat membuat beliau berasa lebih dekat dengan mereka, sekali gus memahami pemikiran dan permasalahan dihadapi rakyat.
Menurutnya, tiada apa-apa yang boleh dibuktikan menerusi debat kerana pada akhirnya jalan penyelesaian gagal diambil apabila rakyat hanya mampu ‘menonton’ dan bukannya berkongsi masalah yang dihadapi.
“Lebih elok kita adakan dialog dengan orang kampung daripada saya dengan awak (calon parti lain) nak berdebat, kita nak tunjuk apa dengan orang Simpang Renggam. Marilah kita dialog, calon-calon yang ada kalau boleh berdialoglah dengan orang kampung.
“Sambil kita dengar soalan, kita faham apa yang orang kampung rasa, apa yang ada dalam pemikiran mereka, bukan kita berdialog (debat) ditonton oleh orang Simpang Renggam, sudahnya kita akan syok sendiri, berdebat berdua nak buat apa, lebih baik kita faham apa yang orang bawah nak,” katanya.
Sebelum ini Hasni menolak pelawaan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang mengajaknya berdebat berkaitan isu-isu rakyat di Simpang Renggam. – UTUSAN