OGA anjurkan Majlis Makan Amal bina dewan

OGA anjurkan Majlis Makan Amal bina dewan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Old Georgian Association (OGA) akan mengadakan Majlis Makan Amal pada 13 November ini, bagi mengumpul dana pembangunan sebuah dewan serbaguna.

Presidennya, Datuk Mohd. Fadzil berkata, pembinaan dewan tersebut bertujuan membolehkan warga Sekolah Menengah King George V di Seremban menggunakan dewan tersebut bagi tujuan riadah.

Katanya, setakat ini dana terkumpul bagi membina dewan tersebut masih belum mencukupi.

“Kos sebanyak RM1.8 hingga RM2 juta diperlukan bagi pembangunan dewan serbaguna dan setakat ini jumlah dana terkumpul sebanyak RM1.1 juta.

“Sudah lama pihak OGA berkeinginan untuk membantu pihak Sekolah Menengah King George V mempunyai dewan serbaguna sendiri di mana semua ahli-ahli alumni dan para pelajar akan dapat pergi ke sana dan boleh bersukan, beramah mesra dan bertukar fikiran,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, Majlis Makan Amal yang bakal dianjurkan itu akan turut disertai pembesar negeri antaranya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. 

Selain itu, tambahnya, beberapa orang kenamaan khas seperti YTM Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan YM Cik Puan Sharlita Omar juga akan menghadiri majlis itu.

Pada masa sama, Mohd. Fadzil berkata, OGA telah pun mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan untuk mendirikan dewan serbaguna di kawasan Sekolah Menengah King George V.

Tempahan tiket meja Majlis Makan Amal tengah hari itu masih lagi dibuka dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati menerusi talian bimbit Hajjah Saliha 013-3500033 atau Puan Hanimah 017-6174983. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN