PETALING JAYA: Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelmarin dengan hanya meraih 30 kerusi Parlimen turut menyaksikan ramai nama besar tumbang di kawasan masing-masing.
BN kalah semua kerusi Parlimen di Kedah termasuklah salah seorang Top 5 pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid yang tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Amin Hamid di Padang Terap dengan majoriti 10,959 undi.
Ini diikuti dengan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim di Baling, Mashitah Ibrahim (Kuala Kedah) dan Datuk Jamil Khir Baharom (Jerai) manakala di Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tewas di Kepala Batas.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki tewas di Gerik diikuti Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang tewas di Sungai Siput manakala Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon kalah di Tanjong Malim.
Di Pantai Timur, veteran pemimpin UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tewas kali pertama di Gua Musang setelah menyandang kerusi sejak 1986, dengan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub tewas di Machang manakala di Terengganu, Khairuddin Aman Razali tewas di Kuala Nerus.
Di Pahang, Liow Tiong Lai tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman di Bentong dengan majoriti tipis 692 undi.
BN juga tewas semua kerusi Parlimen di Selangor antaranya bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz di Kuala Selangor, Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh), Isham Jalil (Shah Alam), Johan Abdul Aziz (Hulu Langat) manakala Tengku Adnan Tengku Mansor tewas di Putrajaya kepada Datuk Dr. Radzi Jidin.
Di sebelah selatan, Shahril Sufian Hamdan tewas di Alor Gajah kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari manakala Datuk P. Kamalanathan tewas kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Port Dickson.
BN menang jumlah kerusi Parlimen terbesar di Johor dengan sembilan kerusi namun Datuk Nur Jazlan Mohamed tewas kepada Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Pulai dengan majoriti 33,174 undi.
Di Sabah, BN meraih tujuh kerusi Parlimen namun Abdul Rahman Dahlan tewas di Kota Belud kepada calon Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis dengan majoriti 4,582 undi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan kekalahan tersebut menunjukkan penolakan terhadap UMNO dan BN dalam pilihan raya kali ini.
“Bukan sahaja nama-nama besar dalam BN tewas, tapi kebanyakan calon kalau menang pun macam pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hampir-hampir kalah, ini menunjukkan penolakan secara total terutama sekali daripada pengundi Melayu luar bandar dan pinggir bandar, mereka lebih suka memilih Pas.
“Walaupun dari segi kecekapan mentadbir negara, Pas boleh dipersoalkan berbanding UMNO tapi nampak gayanya penolakan UMNO dan penerimaan Pas ada kena mengena dengan pemimpin itu sendiri,” katanya.
Jelasnya, pengundi mahukan pemimpin yang bersih dari salah laku dan rasuah berbanding pemimpin yang cekap untuk mentadbir negara.
“UMNO perlu menukar kepimpinan mereka dengan tidak lagi memberi toleransi terhadap pemimpin yang dianggap terlibat dalam rasuah atau salah laku.
“Sebelum memikirkan PRU16, reformasi dalam UMNO perlu dilakukan, kerana apa yang dilakukan sebelum ini dengan mengemukakan calon muka baharu dan muda masih tidak mencukupi. Pengundi mahukan pemimpin yang bersih, itu keutamaannya, itu sebabnya mereka memilih Pas,” katanya. – UTUSAN










