Najib tidak beri arahan spesifik pinda laporan audit 1MDB - Utusan Malaysia

Najib tidak beri arahan spesifik pinda laporan audit 1MDB

KENDERAAN yang membawa Najib Tun Razak memasuki pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding penghujahan kes meminda laporan audit 1MDB. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengarahkan secara spesifik agar Laporan Penguaditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda.

Beliau berhujah, arahan Najib kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB (ketika itu) Arul Kanda Kandasamy hanya secara umum agar Jabatan Audit bertindak dalam skopnya untuk mengesahkan laporan audit bertujuan memelihara kepentingan 1MDB.

Hujah peguam bela, Arul Kanda ketika disoal balas turut bersetuju bahawa apa sahaja klarifikasi terhadap laporan audit tersebut disokong oleh dokumen dan beliau tidak pernah diminta memanipulasi fakta.

Muhammad Shafee berhujah, bekas Perdana Menteri berbuat demikian bagi mengelakkan kandungan laporan itu diputar belit secara politik.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan akhir kes pendakwaan pada perbicaraan meminda laporan pengauditan 1MDB melibatkan Najib dan Arul Kanda yang didakwa bersubahat dengannya.

Menurutnya, Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang juga secara positif menyatakan bahawa tiada arahan spesifik diberikan oleh Najib untuk meminda atau mengubah kandungan laporan berkenaan.

Katanya, Pengarah Audit Jabatan Audit Negara ketika itu, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad selaku saksi ketujuh pendakwaan juga bersetuju ketika disoal balas bahawa tiada sesiapa yang menghalangnya daripada membuat sebarang komen buruk dalam laporan audit.

Sementara itu peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda berhujah, tiada apa yang hendak diselindungkan oleh anak guamnya dalam keterangannya sepanjang dua hari dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Sivananthan berkata, Arul Kanda membuat pendedahan yang benar dan tiada ada apa-apa yang menunjukkan keterangan yang diberikan tidak jujur.

Beliau berkata, pendakwaan sepatutnya memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi terhadap anak guamnya atau menganggap Arul Kanda sebagai saksi belot jika mereka berfikiran bahawa beliau tidak bercakap benar.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 30 Januari depan bagi keputusan sama ada Najib dan Arul Kanda dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Mengikut pertuduhan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya