Peningkatan bayaran interim RM1.5 bilion bukti komitmen Persekutuan terhadap hak Sabah - Mustapha

Peningkatan bayaran interim RM1.5 bilion bukti komitmen Persekutuan terhadap hak Sabah – Mustapha

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengumuman kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menangani tuntutan hak Sabah yang sekian lama tertangguh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu mencerminkan keberanian politik dan kesungguhan kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan hak Sabah terus diberi perhatian.

Menurut beliau, peningkatan bayaran khas yang direkodkan sejak 2022 menunjukkan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari malah diterjemahkan melalui tindakan serta komitmen kewangan yang jelas.

“Pengumuman ini merupakan satu lagi bukti jelas komitmen, keberanian dan kesungguhan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan penuh tanggungjawab.

“Peningkatan secara konsisten ini membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebelum perubahan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022, Sabah hanya menerima kira-kira RM26.7 juta setahun selama beberapa dekad meskipun tuntutan 40 peratus hasil negeri termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah bayaran khas kepada Sabah meningkat secara ketara di bawah pentadbiran Anwar iaitu RM125.6 juta pada tahun 2022, RM300 juta pada 2023 dan 2024, sebelum dinaikkan kepada RM600 juta bagi 2025 dan 2026.

Menurut beliau, pengumuman kenaikan bayaran interim kepada RM1.5 bilion tahun ini merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan Sabah sementara penyelesaian lebih menyeluruh berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan.

“Kita harus berlaku adil dalam menilai perkembangan ini. Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah merupakan perkara yang telah berlarutan selama puluhan tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kuat serta hubungan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, pengumuman RM1.5 bilion ini merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Mustapha menegaskan perjuangan menuntut hak Sabah akan terus diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pendekatan yang matang, berhemah dan berpandangan jauh perlu diteruskan bagi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan serta hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan semangat Malaysia MADANI, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN