PARLIMEN: Taklimat Pemberian Khas Sabah oleh PM di Parlimen hari ini

PARLIMEN: Taklimat Pemberian Khas Sabah oleh PM di Parlimen hari ini

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan taklimat khas di Dewan Rakyat pagi ini berhubung pemberian khas kerajaan Persekutuan kepada Sabah, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini.

Menurut notis dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO), sesi penerangan itu dijadualkan berlangsung pada jam 11.30 pagi sebagai sebahagian daripada sesi penerangan menteri di Parlimen.

“Salam rakan-rakan media. Perdana Menteri akan membuat sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat pada 11.30 pagi ini berkaitan pemberian khas untuk Sabah. Mohon tindakan dan perhatian semua,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan sesi taklimat itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat lalu yang memutuskan kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana gagal menyalurkan 40 peratus hasil yang sepatutnya diterima Sabah sejak hampir lima dekad lalu.

Dalam penghakiman tersebut, Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan bahawa perintah semakan pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak sah, ultra vires dan tidak rasional, sekali gus melanggar Perlembagaan.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Putrajaya menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, bagi mencapai persetujuan mengenai hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil persekutuan bagi setiap tahun kewangan antara 1974 hingga 2021.

Semakan tersebut perlu dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam masa 180 hari seperti yang diperintahkan oleh mahkamah. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN