Kelantan kali ini menyaksikan parti-parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mempertaruhkan ramai muka baharu dalam usaha ‘memikat’ hati para pengundi sekali gus diangkat sebagai ahli Parlimen.
Rata-rata muka baharu yang ditampilkan oleh semua parti politik bertanding sebagai calon kali pertama yang melangkah masuk ke dalam ‘gelanggang’ pilihan raya sekaligus menjadikan proses demokrasi lebih menarik.
Memasuki fasa kedua berkempen, kesemua muka baharu ini dilihat begitu ghairah berkempen dan mendekati para pengundi bagi memboleh mereka dipilih sebagai wakil rakyat.
1.DR MOHD. HAFIEZULNIEZAM RASDIN (BN)
Calon termuda yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) Kelantan dalam usaha ‘merobek’ kubu kuat Pas di Parlimen Pengkalan Chepa.
Walaupun dilihat masih ‘mentah’ dalam arena politik dan terpalit dengan isu status doktor yang digunakan, namun anak muda ini dilihat kental berkempen. Kerja keras yang ditampilkan oleh calon muda ini menghadirkan rasa gerun buat penyandang kerusi tersebut Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pas) selain Nik Faizah Nik Othman (Pakatan Harapan). Bagaimanapun anak muda ini perlu bersaing dengan dua lagi calon iaitu Bebas dan Gabungan Tanah Air (GTA).
2. MOHD. SYAHIR CHE SULAIMAN (Pas)
Muka baharu ditonjolkan oleh Pas untuk menggantikan penyandang kerusi Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang digugurkan pada PRU15. Kehadiran boleh disifatkan mengejutkan arena politik Kelantan kerana anak kelahiran Kampung Pantai Melawi ini diangkat bagi menggantikan ‘figura’ terkemuka yang merupakan anak kepada bekas Mursyidul Am Pas Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Mohamad Abduh.
Bagaimanapun, Mohd. Syahir mampu menarik nafas lega apabila mendapat restu penuh dari Nik Abduh yang turut turun berkempen bagi mengekalkan kerusi Bachok menjadi milik bulan.
3. MARZUANI ARDILLAH ARIFFIN (BN)
Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri ini boleh disifatkan antara calon yang paling mengejutkan apabila diangkat untuk menggantikan ‘figura’ besar dalam BN iaitu Tan Sri Annuar Musa penyandang kerusi Parlimen Ketereh.
Berdepan sedikit ‘tekanan’ pada peringkat awal, namun sebaik sahaja ‘gelanggang’ PRU15 dibuka, Marzuani atau lebih mesra dengan panggilan Kak Gee bagi mendapat ‘tonik’ apabila Annuar secara terbuka memberikan restu untuk bertanding di Ketereh. Restu Annuar itu dilihat menghidupkan semula peluang BN mempertahankan kerusi tersebut yang sebelum ini ‘suram’ selepas nama ‘figura’ tersebut tidak tercalon.
4. WAN AHMAD FAYSHAL WAN AHMAD KAMAL (Pas)
Bertanding menggunakan simbol bulan di Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal menjadi taruhan Parti Bumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membantu Pas merampas kerusi kawasan itu dari penyandangnya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN).
Gemar dilabelkan sebagai calon ‘underdog’ Wan Ahmad Faysal perlu bekerja lebih keras kerana warga Machang seolah-olah sudah selesa dengan jasa yang ditaburkan oleh Ahmad Jazlan.
5. NASRUL ALI HASSAN ABDUL LATIFF (GTA)
Berusia 31 tahun, Ketua Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA) Malaysia yang bertanding di Parlimen Pasir Mas ini merupakan calon paling muda di negeri ini. Pemilik Doktor Falsafah Sains Sosial dan Tingkahlaku itu akan berdepan nama besar iaitu Datuk Husam Musa (Pakatan Harapan) dan penyandang kerusi berkenaan Ahmad Fadhli Shaari (Pas) serta Datul Abdul Ghani Haron (BN).
Kali pertama muncul di Pasir Mas, Nasrul Ali perlu bekerja keras jika tidak mahu hilang wang pertaruhan pada PRU15 itu nanti memandangkan Pas, BN dan Pakatan Harapan sudah mempunyai pendokong yang kuat di kawasan berkenaan.
6. NORWAHIDA PATUAN (BN)
Ketua Wanita UMNO Jeli ini antara muka baharu yang diangkat oleh BN dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut daripada jatuh ke tangan Pas pada PRU15 nanti. Hal ini kerana penyandangnya Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa menyertai Bersatu selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14 lalu.
Aura Tok Pa yang masih belum padam dalam kalangan rakyat Jeli meletakan Wahida berdepan tugas berat untuk mempertahankan kawasan tersebut daripada jatuh ke tangan Pas. Pada PRU15, Kak Da akan ditentang oleh tiga lagi calon iaitu Gabungan Tanah Air (Dr. Muhammad Daud),Zahari Kechik (Pas) dan Pakatan Harapan (Md.Radzi Wahab). Bagaimanapun Wahida mungkin lega apabila rakyat Jeli pasti akan memilih BN yang telah terbukti mengotakan janji dengan mengubah kawasan itu dari ‘jin bertendang’ kepada arus pembangunan.
7.MOHD. REDZUAN RAZALI (Bebas)
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Khidmat Rakyat (PKKR), Mohd. Redzuan Razali, 48, atau Abe Wea menjadi individu pertama yang membuat pengumuman untuk bertanding sebagai calon di Parlimen Pengkalan Chepa pada pRU15.
Walaupun ramai yang sering melabel calon beba tiada masa depan untuk menerajui negara apa lagi untuk menang pilihan raya, namun Mohd. Redzuan tidak terkesan dengan perkara itu kerana mahu fokus untuk bekerja ketika ini.
8. ZAHARI KECHIK (Pas)
Menjadi pengganti kepada Tok Pa, Zahari Kechik secara terbuka mahu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) selepas memutuskan untuk tidak bertanding akibat masalah kesihatan.
Menggambarkan dirinya adalah ‘bayangan’ Tok Pa di Jeli, tokoh ini mempunyai sedikit kelebihan. Bagaimanapun perlu bekerja keras kerana Tok Pa menang dengan majoriti semasa bertanding atas tiket BN pada PRU14 lalu.
9. ZULKARNAIN YUSOFF (BN)
Tokoh agamawan yang ditonjolkan oleh BN bagi memberikan saingan kepada penyandang kerusi Parlimen Rantau Panjang iaitu Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff. Mesra disapa dengan gelaran Ustaz Zul, tokoh ini dilihat mampu memberikan saingan kepada wakil rakyat Pas itu.
Namun, Rantau Panjang merupakan ‘kubu’ Pas dan pastinya jentera BN perlu bekerja keras untuk memenangkan Ustaz Zul. Pada PRU15, Ustaz Zul akan ditentang sengit empat calon iaitu Siti Zailah dari Perikatan Nasional; Dr. Wan Shah Jihan Wan Din (Pakatan Harapan), Datuk Ibrahim Ali (Gerakan Tanah Air) dan Datuk Mohd Zain Ismail dari Parti Rakyat Malaysia.
10.NOR AZMIZA MAMAT (PH)
Ketua Wanita PKR negeri ini menjadi antara muka baharu ditampilkan oleh PH untuk bertanding di Parlimen Bachok. Kali pertama pertama menjadi calon di PRU15, tokoh ini bukanlah ‘anak kecil’ dalam arena politik khususnya di negeri ini.
Nor Azmiza akan ditentang oleh Mohd. Syahir (Pas), Datuk Mohd. Zain Yasim (Barisan Nasional), Kamarul Azam Osman (Gabungan Tanah Air) dan Mohd. Zulkifli Zakaria (Bebas). – UTUSAN










